malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Zizan ingatkan bukan senang hasilkan filem
Diterbitkan:  Nov 21, 2017 10:27 AM
Dikemaskini: 2:39 AM
ADS

Selepas cedera ketika menjalani penggambaran, pelakon dan pelawak Zizan Razak menyatakan kejadian itu menunjukkan bahawa bukan mudah menghasilkan sesebuah filem.

Menerusi Instagram, Zizan mengingatkan seramai 4.5 juta pengikutnya di laman sosial supaya tidak menyokong perbuatan cetak rompak.

Zizan menggesa pihak yang gemar mengambil kesempatan terhadap insan lain yang berhempas pulas menghasilkan sesuatu karya segera menghentikan perbuatan terbabit.

“Jadi nasihat Zizan kepada semua tolonglah jangan ada cetak rompak lagi atau curi-curi rakam kerana bukan senang nak hasilkan sesebuah filem,” kata pemilik nama sebenar Mohammad Razizan Abdul Razak itu.

Zizan dipercayai mengalami kecederaan selepas menjalani penggambaran filem Polis Evo 2 semalam.

Pada imej dimuat naik di media sosial itu, dua lelaki berpakaian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dilihat sedang memberikan rawatan kepada Zizan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sejauh mana tahap kecederaan dialami Naib Johan Raja Lawak itu.

“Hari ini Zizan cedera dalam satu babak aksi. Dan doakan Zizan cepat sembuh. Amin,” katanya melalui Instagram.

Zizan pada masa sama turut meletakkan tanda pagar #kitaok pada status berkenaan seolah-olah membayangkan kecederaan yang dialami itu tidaklah seteruk mana.

Selain Zizan, Polis Evo 2 turut dijayakan oleh pelakon seperti Shaheizy Sam, Erra Fazira dan Hairul Azreen.

Sementara itu, menerusi semakan Malaysiakini hari ini, Instagram Zizan dipenuhi ucapan dan iringan doa dari peminat yang mengharapkan idola mereka cepat sembuh.

Lihat Komen