malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Wan Sharmila malu 'berlagak' macam King Coco
ADS

Untuk meniru watak sensasi Internet King Coco di depan lensa kamera dan seterusnya menjadi tatapan umum memang payah apatah lagi dirinya orang yang sentiasa tersipu-sipu malu.

Namun, demi memenuhi keperluan skrip, pelakon Wan Sharmila terpaksa melupakan dirinya yang asal buat seketika bagi menghidupkan watak Luna dalam drama bersiri berjudul Mr Hijab.

Menurut Wan Sharmila, karakter Luna saling tak tumpah seperti Coco, wanita yang namanya menjadi tular gara-gara menuturkan bahasa Melayu dengan pelat ala ala mat salleh.

“Sejujurnya memang lebih selesa memilih untuk membawa sesuatu watak yang matang, namun tidak disangka-sangka saya ditawarkan lagi watak seperti ini. Jika dulu saya boleh begitu selamba membawa watak ini, tetapi kini sudah tidak lagi, sebab sudah tahu perasaan malu,” katanya.

Wan Sharmila atau nama penuhnya Wan Sharmila Wan Muhamed, 36, ditemui pada acara Celebfest 2017 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Suntec Singapura baru-baru ini.

Kehadiran Wan Sharmila bersama seorang lagi pelakon Hafidz Roshdi pada Celebfest 2017 itu adalah bagi memenuhi undangan istimewa anjuran Tonton dengan kerjasama Singtel.

Karya ditulis dan diterbitkan Erma Fatima yang mendapat arahan Zafizam Zahir itu turut dijayakan Nabila Huda dan Sharnaaz Ahmad sebagai watak utamanya.

Walaupun hari ini TV3 bakal menayangkan episod Mr Hijab yang terakhir, penonton masih boleh menyaksikan drama berkenaan di Tonton - sebuah portal yang menawarkan perkhidmatan penstriman terbesar di Malaysia.

Kelibat Coco atau nama sebenarnya Marshaira Ismail yang satu ketika dulu muncul di media sosial seringkali mencuri tumpuan ramai, namun pada kebiasaannya ia bukan untuk sebab yang baik-baik.

Terkenal dengan sikap mengada-ngada, aksi Coco yang mungkin secara tidak langsung boleh menimbulkan perasaan meluat-luat itu turut mendapat perhatian di kalangan selebriti tempatan seperti Nabila Huda dan Fazura.

Pamer kredibiliti sebagai pelakon

Mereka malah turut menghasilkan klip video parodi mengenai wanita berkenaan yang mengaku berdarah kacukan itu hingga tular di media sosial.

Walaupun Coco digunakan sebagai sumber rujukan untuk karakter diinginkan, ini tidak bermakna Wan Sharmila pernah mengenali wanita itu secara dekat.

“Ketika satu Malaysia menyebut nama dia, saya langsung tidak pernah mengikuti atau melihat keletahnya di media sosial hinggalah diberitahu supaya jadi seperti Coco,” katanya.

Sekalipun diuji cabaran membawakan watak yang jauh dari sifatnya yang sebenar, Wan Sharmila berkata dia sedikit pun tidak berasa serik.

Bagi Wan Sharmila, ini adalah peluang keemasan untuk mempamerkan kredibilitinya sebagai pelakon. Justeru, ia menjadi antara sebab dia menerima tawaran untuk menjayakan naskhah terbitan Rumah Karya Citra itu.

“Saya terima watak ini disebabkan kak Erma bertindak selaku penulis skrip dan penerbit malah ini adalah kali pertama menimba ilmu dengannya. Saya berharap diberi peluang untuk berlakon dalam drama terbitannya lagi mana tahu boleh dapat watak serius pula selepas ini,” katanya.

Lihat Komen