malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pengarah Indonesia beri amaran: Bront mungkin 'dicuri'
ADS

Bermula dengan menyaksikan aksi yang berkesan dalam filem Terbaik Dari Langit, pengarah Indonesia Joko Anwar tahu bakat lakonan Bront Palarae boleh dikembangkan lagi.

Justeru, melalui karya terbarunya - Pengabdi Setan - Joko membuktikan bahawa keyakinannya memang berbaloi.

Malah Joko juga yakin dia mampu membantu Bront melebarkan langkahnya untuk mempelbagaikan profil lakonan di Indonesia.

“Saya tengok klip promosi Terbaik Dari Langit di YouTube tiga tahun lalu dan datang sendiri ke Kuala Lumpur untuk menonton filem berkenaan," katanya yang tertarik dengan kemampuan Bront membawakan watak yang diberikan.

Dari situ Joko bekerjasama dengan Bront menghasilkan siri Halfworlds yang ditayangkan di saluran HBO.

"Kami mula berkawan sejak itu," katanya.

Ketika ini kata Joko, sudah ada pemuja Bront di Indonesia dan membayangkan aktor itu akan lebih menyerlah di negara berkenaan berbanding Malaysia.

"Jangan sampai kami curi dia daripada anda,” kata penggemar drama komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu.

Joko, 41, ditemui selepas majlis tayangan media Pengabdi Setan di Kuala Lumpur semalam. Turut hadir pelakon utama Tara Basro (gambar) dan Dimas Aditya.

Bront bagaimanapun tidak dapat hadir kerana ada urusan tidak dapat dielakkan di luar negara.

Di Indonesia, Pengabdi Setan bukan lagi kisah seram yang asing buat penduduk di negara itu kerana ia asalnya dihasilkan melalui sentuhan Sisworo Gautama Putra - juga menggunakan judul sama - pada 1980-an.

Filem itu mengisahkan tentang seorang suami dan empat anaknya yang perlu berdepan misteri selepas isterinya meninggal dunia akibat sakit yang aneh.

Watak bapa dilakonkan oleh Bront.

Bukan kejar wang atau piala

Sejak kematian itu si bapa meninggalkan anak-anaknya di rumah kerana perlu bekerja. Ketika itulah berlaku pelbagai kejadian menyeramkan.

Joko mendedahkan, fikirannya mula dihantui Pengabdi Setan sejak kecil apabila menonton filem berkenaan kali pertama.

Ketika itu, katanya, dia berharap akan tiba suatu hari yang membolehkannya menggarap karya berkenaan mengikut kreativiti sendiri.

“Selama 10 tahun saya mengejar Pengabdi Setan sebelum berpeluang menghasilkan dan membawa filem itu kepada penonton tahun ini,” katanya (gambar).

Pengabdi Setan berjaya menarik 4.2 juta penonton sejak ditayangkan di Indonesia pada 28 Sept lalu.

Di Malaysia Pengabdi Setan akan mula menemui peminat pada 23 Nov ini.

Untuk rekod, Pengabdi Setan berjaya menggondol tujuh anugerah Festival Filem Indonesia ke-37 di Manado, Sulawesi Utara pada 11 Nov lalu.

Antaranya ialah pengarah sinematografi terbaik, pengarah artistik terbaik, pelakon kanak-kanak terbaik dan ciptaan lagu terbaik.

“Saya bersyukur di atas penghargaan itu. Saya berkarya bukan kerana mengejar wang atau piala, tetapi percaya ada cerita menarik untuk disampaikan selain mahu memberikan pengalaman sinematik kepada penonton," kata Joko mengulas mengenai pencapaian filemnya.

Lihat Komen