malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Rusuh-Nadra soroti peranan Mansor Adabi
ADS

Berbeza daripada naskhah lain Natrah yang pernah dipentaskan sebelum ini, teater Rusuh-Nadra bakal mengetengahkan sisi berlainan apabila mengangkat nama cikgu Mansor Adabi sebagai watak utama.

Menurut penerbit dan pelakon utama Muhammad Khairudin, 26 penulis naskah berkenaan A Wahab Hamzah ingin merungkai persoalan yang timbul mengenai insan terdekat yang juga bekas suami kepada Natrah itu.

“Mungkin orang ramai akan tertanya-tanya ke mana ataupun menyalahkan Mansor Adabi kerana tidak menyedari peranan beliau dalam memperjuangkan hak Natrah.

“Dengan Rusuh-Nadra, orang ramai akan lebih jelas mengenai perjuangan Mansor yang pada ketika itu bukan saja berjuang semata-mata untuk Natrah tetapi demi bangsa dan agama,” katanya kepada Malaysiakini.

Teater arahan Aris Othman itu bakal dipersembahkan di Universiti Malaya dan bersifat akademik selain menceritakan sejarah tanah air untuk tatapan umum.

Dibarisi 16 pelakon yang terdiri daripada pelajar jurusan Seni Persembahan Drama Pusat Kebudayaan Universiti Malaya, Rusuh-Nadra bakal berlangsung selama empat hari berturut-turut bermula 23 November ini.

Nadra Maarof - atau lebih dikenali di kalangan masyarakat Melayu sebagai Natrah - dilahirkan pada 1937 dengan nama Belandanya Bertha Hertogh.

Bukan nak bersaing

Riwayat hidup tragis Natrah bermula pada 1942 sebaik dia diserahkan kepada Che Aminah - seorang ahli perniagaan dari Terengganu oleh ibunya Adeline untuk dipelihara sebagai anak angkat.

Adeline berbuat demikian kerana tidak dapat menahan kesempitan hidup selain bapa Natrah, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh ditawan tentera Jepun semasa perang dunia kedua.

Selepas hakim memerintahkan Natrah dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya pada 1950 dan ditukar kepercayaannya kepada Kristian, masyarakat Islam Singapura dan Tanah Melayu begitu kecewa.

Kekecewaan itu mencetuskan Rusuhan Natrah, yang digerakkan oleh Mansor hingga mengorbankan 18 nyawa dan menyebabkan sekurang-kurang 200 orang lagi cedera.

Sementara itu, mengulas tentang cubaan untuk menyaingi teater Natrah yang pernah diarahkan pengarah terkenal Erma Fatima, Muhammad berkata, penonton wajar hadir dan melihat sendiri kelainan pementasan yang bakal dipertontonkan.

“Tiada istilah bersaing, cuma kalau dapat setara dengan naskhah itu pun memadai,” katanya.

Lihat Komen