malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Teater SPRM mula dipentaskan malam ini
Diterbitkan:  Oct 20, 2017 4:02 PM
Dikemaskini: 8:14 AM
ADS

Teater sulung anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertajuk 'Bahara Emas' yang memuatkan mesej antirasuah dipentaskan untuk kali pertama di hadapan lebih 200 penonton di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur malam ini.

Tayangan sehingga 22 Oktober ini berkisar tentang kisah pada era pemerintahan Sultan Melaka kelapan Sultan Mahmud Syah, yang menampilkan elemen seperti rasuah, hasad dengki dan fitnah yang berlaku pada zaman itu.

Teater arahan Dekan Fakulti Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Rosminah Tahir sepanjang kira-kira dua jam itu membariskan hampir 50 pelakon antaranya Datuk Jalaluddin Hassan, Esma Daniel, Farahdhiya, Nor Zizi Zulkifli, Izzue Islam dan Mubarak Majid.

Penerbitnya Siti Rohayah Attan berharap pementasan itu mendapat tempat di hati masyarakat memandangkan ia membawa mesej bermanfaat ke arah melahirkan masyarakat tanpa rasuah di negara ini.

“Saya harap teater ini dapat dipentaskan di lokasi berprestij seperti Istana Budaya yang mampu memuatkan lebih ramai penonton,” katanya ketika ditemui pemberita.

Bahara Emas mendapat sentuhan pemuzik tersohor tanah air, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah.

Dipentaskan sempena sambutan 50 tahun SPRM, teater itu merupakan hasil kerjasama Ctra Production, DBP, Istana Budaya dan Aswara.

Masuk adalah percuma.

 

- Bernama

Lihat Komen