malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Tak mahu terpalit, Tatum tarik diri bikin filem Weinstein
Diterbitkan:  Oct 20, 2017 12:16 PM
Dikemaskini: 8:02 AM
ADS

Susulan dakwaan gangguan dan serangan seksual membabitkan Harvey Weinstein, pelakon Channing Tatum mengumumkan menarik diri daripada projek terbaru yang dikendalikan syarikat penerbit itu.

Tatum sepatutnya menjadi pengarah bersama dengan rakan kongsinya Reid Carolin untuk menyiapkan filem bagi The Weinstein Co berjudul Forgive Me Mr Leonard Peacock.

“Projek kami dinaungi TWC (The Weinstein Co) yang diadaptasi dari novel Matthew Quick berjudul Forgive Me Mr Leonard Peacock memaparkan kisah seorang budak yang hidupnya merana akibat pernah jadi mangsa serangan seksual.

“Walaupun tidak lagi bekerjasama untuk menyiapkan atau berbuat apa-apa perkara yang berhubung TWC, kami sering diingatkan dengan mesej yang mampu menyembuhkan ekoran peristiwa buruk itu,” katanya menerusi Instagram.

 

A post shared by Channing Tatum (@channingtatum) on

Pelakon The Hateful Eight itu turut memuat naik kenyataan berkenaan sambil memuji wanita yang mempunyai keberanian untuk mendedahkan kebenaran mengenai kerakusan Weinstein.

Katanya, semua wanita yang tampil membuat pendedahan adalah adiwira yang sebenar.

“Mereka sanggup mengangkat bebanan berat untuk mencipta dunia saksama agar kita semua berhak hidup bersama.

“Ini adalah peluang yang baik untuk sebarang perubahan positif dan kami bangga kerana melakukannya.

“Kebenaran sudah diketahui, oleh itu mari habiskan apa yang rakan sekerja kita sudah mulakan dan basmi penderaan daripada industri kreatif kita untuk selama-lamanya,” katanya.

Selain Tatum, kenyataan dimuat naik dalam media sosial itu turut ditandatangani dengan nama Carolin.

Menerusi semakan Malaysiakini hingga pagi ini, status itu disukai hingga lebih 114,000 kali.

Terdahulu, puluhan wanita yang terdiri daripada aktres dan pekerja industri hiburan membuat aduan ke atas Weinstein, 65, termasuk aktres Rose McGowan, Angelina Jolie, Gyneth Paltrow dan Asia Argento.

Walaupun Tatum baru mengisytiharkan penarikan diri, Weinstein terlebih dahulu sudah dipecat oleh ahli lembaga pengarah Weinstein Co pada 8 Oktober lalu.

Bagaimanapun, tokoh perfileman yang berpengaruh itu menafikan sebarang tuduhan melakukan seks tanpa persetujuan.

Lihat Komen