malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Farahdhiya lupakan rajuk, bersilat demi Tun Fatimah
ADS

Kembali beraksi dalam pementasan teater selepas kali terakhir enam tahun lalu, pelakon dan penyanyi Farahdhiya ternyata perlu berdepan cabaran utamanya iaitu berdepan kritikan penonton.

Untuk itu, selain kekuatan fizikal, empunya nama sebenar Farahdhiya Mohd Amin, 33, itu terlebih dahulu perlu membuat persediaan secukupnya dari segi kekuatan mental.

“Sejujurnya tidak terlintas langsung mengenai persoalan itu (mendapat kritikan) Insya-Allah boleh jika saya melakukan latihan setiap hari dan cuba yang terbaik.

“Jika terus-menerus menanamkan perasaan takut, sampai bila-bila kita tidak akan boleh buat. Justeru, kena percaya pada diri itu adalah yang terbaik,” katanya yang ditemui pada sidang media teater Bahara Emas di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bahara Emas mengimbau kisah rasuah dan penipuan berlaku ketika zaman pemerintahan kesultanan Melayu Melaka kelapan, Sultan Mahmud Shah.

Teater dijadual berlangsung bermula 19 hingga 22 Oktober depan menampilkan Farahdhiya sebagai srikandi Tun Fatimah yang bangkit memperjuangkan maruah suami dan anggota keluarganya yang mati dibunuh kerana ditabur fitnah.

Selain Farahdhiya, teater itu turut dibarisi barisan pelakon seperti Esma Daniel, Amar Asyraf, Izzue Islam, kumpulan Forteen, Mardiana Alwi, Eyzendy Aziz, Zera Hariz, Aman Nasim dan Mubarak Majid.

Bagi Farahdhiya, berlakon dan menyanyi tidak begitu mendatangkan kesulitan berbanding perlu menari serta bersilat seperti yang perlu dilakukannya mengikut skrip yang diberikan.

“Ini antara projek paling susah pernah saya lakukan. Berlakon dan menyanyi itu tugas saya tetapi menari dan bersilat memang bukan.

“Masa terima tawaran saya menyangka ia mudah saja tetapi sebenarnya susah. Selepas sebulan berlatih baru rasa tidak janggal kerana sudah dapat serasikan diri,” katanya.

Untuk makluman, naskhah terbitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah berkenaan adalah kisah bangsawan pertama yang akan dilakonkan penyanyi Bertakhta di Hati itu.

Kali pertama Farahdhiya menjayakan sebuah pementasan teater adalah menerusi karya moden berjudul Terima Kasih Cinta (TKC) iaitu pada tahun 2011 lalu.

Namun, hingga kini, menurut Farahdhiya dia belum menerima sebarang bayaran daripada pihak produksi TKC yang membuatnya ‘merajuk’ bertahun-tahun.

“Ya memang ada tawaran selepas Terima Kasih Cinta, tetapi disebabkan pernah mengalami pengalaman buruk tidak dibayar produksi menyebabkan saya menolak setiap peluang yang tiba.

“Saya kembali selepas enam tahun untuk berlakon teater, alhamdulillah segala-galanya menunjukkan perkembangan positif,” katanya.

Lihat Komen