malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Sufian pertahan majlis tunang gah dengan Elfira
Diterbitkan:  Oct 9, 2017 10:58 AM
Dikemaskini: 3:37 AM
ADS

Penyanyi Sufian Suhaimi mempertahankan majlis pertunangan dengan Elfira Loy yang mengundang kecaman pengguna Internet kerana gah umpama acara perkahwinan.

Sufian menegaskan majlis berkenaan menjadi lebih besar daripada sepatutnya kerana mendapat tajaan pelbagai pihak.

“Mengikut perancangan awal, kami memang mahu mengadakan majlis bertunang secara kecil-kecilan, dengan hanya membabitkan insan terdekat seperti keluarga masing-masing.

“Bagaimanapun, Elfira sudah lama berada di pentas seni, jadi ramai juga kenalan rapatnya termasuk artis dan rakan media dijemput. Justeru, liputan yang diterima cukup meluas.

“Majlis itu sendiri kelihatan gah dan meriah apabila ada banyak pihak sudi bekerjasama. Acara itu akhirnya menjadi lebih besar daripada apa yang dirancang,” katanya seperti dilapor BH Online.

Elfira mengadakan majlis pertunangan di kediamannya di Alam Damai, Cheras pada Jumaat lalu.

Pasangan itu kelihatan cukup berseri menggayakan dua pasang pakaian selain duduk di atas pelamin berhias - persiapan seakan-akan hari berkahwin.

Penyanyi yang baru muncul dengan singla Terasa Ada itu turut menjelaskan kehadirannya ke rumah Elfira bukan sesuatu yang perlu dianggap pelik.

“Saya ke rumah Elfira pun selepas majlis pertunangan selesai. Ketika acara bertunang juga, tiada liputan media kerana mereka cuma diundang selepas selesai majlis sebenar.

“Jadi, apabila saya datang kemudian berada di situ, banyak gambar kami berdua yang diambil dan dikongsi oleh pihak media serta tetamu lain," beliau dipetik sebagai berkata.

Elifra dan Sufian bertunang pada majlis dihadiri kira-kira 100 tetamu itu selepas menjalin hubungan cinta selama lapan bulan.

Tujuh dulang hantaran diserahkan Elfira berbalas lima daripada pihak Sufian sebagai simbolik termeterainya pertunangan itu.

Pasangan terbabit dijangka berkahwin pada Mac depan.

Lihat Komen