malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Lepas Redha Tunku Mona cerita atlet cerebral palsy
ADS

Gagal meraih kutipan pecah panggung menerusi kisah anak autistik, namun Tunku Mona Riza tidak serik.

Bertekad untuk terus berusaha membuka mata orang ramai mengenai tuah anak istimewa dia memilih untuk mengetengahkan kisah hidup atlet paralimpik negara, Ridzuan Puzi.

Bagi Tunku Mona dia amat percaya di sebalik setiap kekurangan manusia, tetap terselit banyak kelebihan. Justeru hal itulah yang mendorongnya memilih kisah Ridzuan untuk difilemkan selepas Redha.

"Filem membawa unsur sebegini amat penting untuk manusia yang hidup pada zaman moden.

"Subjek dipaparkan akan mengajar kita supaya berasa merendah diri.

"Ia juga mengajar kita bagaimana Tuhan hendak tunjuk yang kurang pada mata kasar kita tetap mempunyai lebih banyak kelebihan," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Tunku Mona, buat masa ini semuanya masih di dalam perbincangan dan naskhah itu nanti berkemungkinan akan dibarisi oleh artis dikenali ramai.

Buat masa ini, proses itu menjadi lebih mudah kerana ibu bapa Ridzuan sendiri telah memberi maklum positif untuk kisah hidup anak mereka difilemkan.

Filem biografi itu akan berkisarkan Ridzuan atau nama penuhnya Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang mengidap penyakit cerebral palsy mencapai kegemilangannya mencapai pingat emas semasa di sukan Paralimpik di Brazil tahun lalu.

Tak gagal dapat pengiktirafan

Kata Tunku Mona, hatinya tergerak untuk memfilemkan kisah hidup Ridzuan kerana mahu membetulkan persepsi masyarakat kepada golongan istimewa.

"Kita perlu beri anak istimewa ini sokongan kerana mereka sering tersisih.

"Pada masa sama, saya khuatir jika perkara itu berlaku kepada anak atau cucu-cicit saya," katanya.

Menceritakan projek terbarunya itu Tunku Mona berkata filem berkenaan akan banyak menyelitkan unsur inspirasi, perpaduan dan perasaan kasih sayang.

Diharap, katanya, langkah itu akan buang jurang antara golongan istimewa dan masyarakat awam.

"Secara tidak langsung filem ini juga boleh meningkatkan tahap perpaduan rakyat kerana semasa Wan (Ridzuan) berjuang di Rio de Janeiro Brazil, semua bersatu hati menyokongnya untuk berjaya," katanya.

Filem Redha berjaya membawa anugerah pengarah harapan kepada Tunku Mona semasa Festival Filem Malaysia ke-29 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 23 September lalu.

Filem padat dengan mesej dan menyentuh jiwa itu turut membawa tuah buat pelakon utamanya Nam Ron yang menggondol anugerah pelakon lelaki terbaik (Namron), selain June Lojong (pelakon wanita harapan) dan Haritz Haziq (pelakon kanak-kanak terbaik).

Redha menutup tayangan di seluruh negara dengan kutipan dianggarkan berjumlah kira-kira RM500,000.

Bagi segelintir sutradara yang tidak berhasil mencapai tahap pecah panggung, mungkin ada yang tidak akan berani mempertaruhkan genre sama, namun bagi Tunku Mona wang bukan segala-galanya.

Katanya, dia percaya gagal sekali bukan gagal selama-lamanya.

"Redha gagal dari segi kutipan tetapi ia tidak gagal dari segi pengiktirafan.

"Sampai bila kita perlu takut dengan subjek begini sedangkan adalah lebih baik menongkah arus," katanya.

Untuk rekod Ridzuan, 29, dilahirkan di Perlis dan disahkan doktor menghidap cerebral palsy sejak berusia setahun.

Dia mengungguli acara larian 100m kategori T36 (celebral palsy) mengalahkan atlet China, Yang Yifei yang berada di tempat kedua, serta Rodrigo Parreira da Silva (Brazil) di tempat ketiga.

Lihat Komen