malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Kejayaan dalam Adiwiraku tak mengubah Sangeeta
ADS

Meskipun meraih gelaran pelakon wanita terbaik di Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29), Sangeeta Krishnasamy tidak bercadang mengubah pendiriannya mengenai tawaran berlakon.

Dia juga tidak keberatan jika menerima tawaran baru untuk membintangi filem yang tidak membariskan pelakon terkenal, asalkan naskhah itu dapat memaparkan kisah pengorbanan individu berjiwa besar.

“Saya memang gemar berlakon kerana menganggap ia sebagai terapi, terutama apabila saya ni memang bukan datang dari keluarga yang senang," katanya ketika ditemui media selepas FFM29 berakhir kelmarin.

Festival yang memberikan pengiktirafan kepada penggiat perfileman itu berlangsung di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Tanpa menampilkan nama-nama besar dalam dunia perfileman Malaysia, Sangeeta diangkat sebagai pelakon wanita terbaik FFM29 melalui watak Cikgu Cheryl Ann Fernando dalam filem Adiwiraku.

Diarahkan oleh Eric Ong, Adiwiraku diterbitkan syarikat Sol Pictures Sdn Bhd itu mengisahkan kesungguhan Cikgu Cheryl mendidik pelajar di sebuah kawasan kampung di Sungai Petani, Kedah.

Filem berkenaan dihasilkan daripada kisah benar.

Menceritakan pengalamannya membawa watak guru bahasa Inggeris dalam Adiwiraku itu, Sangeeta berkata terlalu banyak emosi bermain di fikirannya sepanjang ia berlangsung.

Kalau tak cuma drama TV

Dengan kos yang rendah - hanya kira-kira RM600,000 - dan pelakon yang sederhana, Sangeeta berkata, dia tidak menjangkakan apa-apa yang besar daripada filem berkenaan.

Bersama pengalaman itu dia menyatakan kesanggupannya terus membintangi filem seumpama Adiwiraku dan berazam menjayakan watak yang diberi dengan bersunguh-sungguh.

Selain merangkul trofi pelakon wanita terbaik, Adiwiraku juga mengungguli kategori Filem Terbaik dan Cerita Asal Terbaik.

Adiwiraku memaparkan realiti penduduk kampung serta anak-anak mereka yang bergelut meneruskan pembelajaran. Antaranya berdepan masalah kemiskinan dan keluarga.

Cheryl yang ditugaskan mengajar di Sekolah Menengah Pinang Tunggal berusaha mencari jalan untuk mendidik anak muridnya supaya berjaya menguasai bahasa Inggeris menerusi pertandingan choral speaking.

Sementara itu, penulis skrip Adiwiraku, Jason Chong, berkata kisah berkenaan pernah gagal menarik minat penerbit semasa ia dicadangkan kepada mereka suatu ketika dulu.

Adiwiraku hampir disiarkan hanya sebagai drama bersiri di TV. Tetapi selepas melalui perbincangan bersama Eric kami mengambil keputusan untuk mengeluarkan wang sendiri dan menyiapkannya sebagai filem.

“Kami percaya kekuatan pada jalan cerita, kejujuran dan teknik sinematografi asas membantu menghasilkan filem berkualiti,” katanya.’’

Lihat Komen