malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
'Peace Love Rindu' harapan damai Ella
ADS

Selepas 10 tahun, penyanyi Ella muncul dengan album Peace.Love.Rindu di Hari Keamanan Sedunia yang disambut hari ini dengan membawa lagu bermesej kasih sayang.

Ella turut mengucapkan terima kasih buat peminat menerusi album yang dianggap terlalu istimewa dan cukup dekat di hatinya, setelah lama tidak menghasilkan album.

“Saya sengaja memilih untuk melancarkan album pada hari ini dan mengambil peluang melakukannya bersempena Hari Keamanan Dunia.

“Erti judul itu membawa maksud begitu mendalam buat saya.

Peace bererti keamanan yang perlu sentiasa dipelihara, love untuk peminat yang tidak pernah berhenti menyokong dan rindu kerana saya memendam perasaan untuk menghasilkan lagu selepas sekian lama,” katanya.

Pemilik nama sebenar Nor Zila Amiruddin, 51, itu ditemui pada sidang media pelancaran Peace.Love.Rindu di Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya mengenai lagu apakah paling dekat dengan jiwanya dalam album itu, Ella memberitahu semua lagu mempunyai kisah tersendiri.

Namun paling teristimewa adalah lagu sama dengan judul album Peace.Love.Rindu kerana ia mengingatkannya kepada suami Azhar Husaini Ghazali.

"Dia banyak berkorban dan meluangkan masa untuk menemani saya.

"Selain itu, suami juga tidak lekang memberi kata-kata semangat dan alhamdulillah minat kami sama iaitu muzik cuma dia tidak boleh membabitkan diri 100 peratus dalam bidang itu," katanya.

Rama-Rama adalah album terakhir Ella sebelum ini.

Peace.Love.Rindu mengambil tempoh lebih dua tahun untuk disiapkan dan memuatkan lapan lagu.

Antaranya dimuatkan termasuk Raguku ciptaan Datuk M Nasir, Sujud (Edrie Hashim), Ku Sedia (Faizal Tahir, Omar K dan Ezra Kong), dan Peace.Love.Rindu (Lord).

Bercakap mengenai proses penghasilan album, Ella mengakui antara faktor Peace.Love.Rindu muncul lewat di pasaran adalah kerana sukar membuat pemilihan.

“Saya perlu menapis sebanyak 158 lagu sebelum yakin lapan daripadanya adalah yang terbaik untuk ditempatkan dalam album kali ini.

"Selain itu saya perlu mengimbangkan tanggungjawab sebagai isteri dan mendahulukan mana dirasakan lebih penting.

"Saya tidak mahu tampil hanya dengan sebuah lagu kerana tidak puas dan umpama tidak berbaloi buat peminat yang ternanti-nantikan buah tangan terbaru daripada saya,” katanya.

Lihat Komen