malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Farawahida bukan tumpang populariti Alyah
ADS

Penyanyi Farawahida tidak kisah sekiranya namanya tenggelam dibayangi populariti Datin Alyah apabila mereka muncul berduet menerusi single terbaru Mengapa Harus Aku.

Selepas enam tahun tidak muncul dengan sebarang lagu atau album baru, Farawahida menganggap isu menumpang populariti tidak perlu ditimbulkan dengan kemunculannya bersama Alyah.

“Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan. Saya sanggup ambil risiko sebab Alyah seorang artis yang bagus dan tidak kisah sekiranya ada peminat ingin beranggapan sebegitu.

“Namun apa yang ingin ditegaskan di sini adalah peluang menyanyi secara berduet itu ditawarkan oleh Kak Alyah. Ini bukan strategi tertentu, malah tiada istilah nama Farah perlu bergantung kepada Alyah atau pun tidak untuk terus naik dalam industri tanah air,” katanya.

Farawahida, 32, ditemui pada majlis pelancaran Mengapa Harus Aku di Subang Jaya kelmarin.

Ditanya mesej di sebalik lirik dan klip video Mengapa Harus Aku yang dikatakan menjurus kepada kisah pasangan curang, Farawahida dengan tenang meminta perkara itu dilihat dari sudut positif.

Bukan galak kecurangan

Farawahida turut menafikan sekeras-kerasnya kemungkinan lagu berkenaan boleh membawa pengaruh negatif dalam sesebuah perkahwinan.

“Saya wanita yang berkahwin dan masih mempunyai suami, sudah tentu tidak ingin menggalakkan kecurangan berlaku dalam sesebuah rumah tangga. Lagu ini cuma ingin menyelami kesakitan yang pada realitinya dialami wanita lain,” katanya.

Dalam pada itu, menghuraikan persoalan mengapa dia perlu menunggu tempoh terlalu lama sebelum hadir dengan buah tangan terbaru, Farawahida memberi alasan 'tidak mahu jadi artis syok sendiri'.

Jangan Tanya Aku Lagi merupakan single pertama dilancarkan Farawahida pada 2011 selepas dia memilih untuk bergerak solo tanpa bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman.

Untuk makluman, single itu juga adalah yang terakhir dirakamkan Farawahida sebelum kembali semula kali ini dengan Alyah.

“Banyak aspek harus dititikberatkan sebelum menghasilkan sesuatu karya misalnya saya kena memahami lagu bagaimana yang orang ingin dengar pada zaman sekarang.

“Diberi peluang berduet bersama kak Alyah, mengapa tidak saya gunakan dengan sebaik-baiknya,” katanya yang bakal melahirkan single terbaru tahun depan.

Lihat Komen