malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Fathia tak sedar video berahi jadi tatapan umum
Diterbitkan:  Sep 20, 2017 1:10 PM
Dikemaskini: 5:18 AM
ADS

Selepas tular menjadi kecaman, pelakon Fathia Latiff tampil mengaku kesilapannya apabila muncul secara mencolok mata menerusi aplikasi Bigo Live yang hangat diperkatakan sejak Jumaat lalu.

Dengan kata-kata penuh penyesalan, Fathia turut memohon maaf kerana memberikan pengaruh negatif kepada masyarakat.

“Maaf kerana tidak sengaja menjadi contoh buruk kepada umum. Saya tidak sedar kesalahan itu. Video berkenaan bocor, saya minta maaf.

“Semoga Tuhan mengampunkan dosa saya,” katanya menerusi Instagram malam tadi.

Sebelum ini, tiada kenyataan rasmi keluar daripada mulut pelakon bertudung itu mengenai individu yang dirakam menari-nari dan menampakkan sebahagian buah dada dalam video berkenaan.

Tarian memberahikan itu pada awalnya dirakam secara suka-suka oleh pelakon baru Natasha Elyzza dalam sebuah tandas di sebuah vila.

Pada paparan video kedua, kelibat seorang wanita disyaki mirip Fathia tiba-tiba muncul sambil berkemban dengan tuala mandi.

Pemilik nama penuh Nur Fathia Abdul Latiff. 30, itu turut mempertahankan perbuatan Natasha yang bertanggungjawab menjadi perakam video terbabit.

“Tasya tidak bersalah. Dia masih dalam proses memperbaiki diri. Tolong jangan salahkan dia,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan New Straits Times, Fathia menjelaskan perkara itu tidak sepatutnya menjadi tatapan umum.

Kata pelakon Ariana Rose itu, tiada wanita yang berfikiran waras ingin berkongsi paparan tubuhnya kepada sesiapa.

“Saya dan beberapa rakan menyewa sebuah vila. Sesi tarian itu hanya dilakukan semasa berada dengan rakan perempuan dalam tandas di vila berkenaan.

“Sudah tentu saya malu dengan apa berlaku. Tiada sesiapa mahu mempamerkan bentuk tubuhnya kepada umum,” katanya sambil menahan sebak.

Pada masa sama, Fathia berkata, dia tidak sedar video berkenaan dirakam secara langsung dan boleh diakses oleh pengguna aplikasi itu.

“Saya tidak pernah mendengar mengenai aplikasi itu sebelum ini. Sekarang sudah tahu tetapi bukan dengan cara yang terbaik,” katanya yang berharap dapat melupakan peristiwa hitam itu dan meneruskan kehidupannya.

Lihat Komen