malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Gadis lari jauhi Hazama
Diterbitkan:  Sep 18, 2017 9:21 PM
Dikemaskini: 1:31 PM
ADS

Tidak ada niat untuk mempermainkan sesiapa, kata Hazama, ketika menjelaskan mengapa dia menyamar seperti peminta sedekah dan menyanyi bersama pemuzik jalanan baru-baru ini.

Katanya, dia sekadar menjalankan ujian sosial untuk melihat sejauh mana masyarakat menerima seseorang yang mempunyai bakat serta suara tetapi 'tiada rupa'.

“Saya dan pengurusan merancang melakukan eksperimen sosial ini bagi melihat sendiri penerimaan masyarakat terhadap seni.

“Adakah mereka lebih melihat penampilan dan populariti seseorang atau akan menghargai bakat dengan ikhlas,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 32, turut berkongsi reaksi orang ramai apabila dia muncul pertama kali sebagai gelandangan.

“Ketika saya muncul di kawasan itu, ada sekumpulan gadis lari dan menjauhi saya. Mungkin mereka takut kerana saya nampak sangat selekeh dan tidak terurus.

“Selepas selesai persembahan, saya dapat lihat masyarakat kita masih menghargai bakat berbanding populariti,” katanya.

Keadaan yang membuat Hazama terharu ialah apabila dia menerima bukan saja tepukan malah sorakan daripada orang ramai.

“Dalam program TV memang ramai yang bertepuk tangan dan bersorak tetapi sebagai penyanyi kita tak pasti sama ada reaksi itu tanda menghargai bakat kita atau untuk program.

“Ketika melakukan eksperimen ini, saya rasa dihargai dan mereka berikan tepukan dengan jujur walaupun tidak tahu identiti sebenar ‘gelandangan’ itu,” katanya.

Terkejut dengan respon positif orang ramai menerusi media sosial, penyanyi Penglipur Lara itu berazam untuk terus melakukan aktiviti itu dan menjadikan ia sebagai kerja amal.

“Ramai menulis komen di video yang dimuat naik ke YouTube. Ada yang meneka gelandangan itu adalah saya dan ada juga yang masih tertanya-tanya.

“Kalau ada sokongan daripada mana-mana pihak yang ingin membantu, saya akan teruskan aktiviti busking sebegini. Kita boleh kutip dana untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Penyamaran itu dilakukan pada 9 September lalu selepas Hazama merancang untuk menjayakannya selama dua minggu.

Namun, video klip memaparkan Hazama menjadi gelandangan mula menjadi tular sejak minggu lalu.

“Kami mencari jurusolek yang boleh menukar wajah saya menjadi orang lain. Sepanjang dua minggu, pelbagai persediaan dilakukan dan saya berpuas hati dengan hasilnya,” kata Hazama.

Lihat Komen