malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Musibah jadi pembakar semangat Sherrie Aljunied
ADS

Setiap musibah ada hikmahnya, malah bagi penyanyi Sherrie Aljunied, pengalaman yang ditempuhinya harus dikongsi agar dapat menyuntik semangat insan yang senasib dengannya di luar sana.

Mengharungi fasa kemurungan selama tiga tahun akibat kemalangan sememangnya bukan perkara yang ingin dibanggakan penyanyi kelahiran Singapura itu.

Walaupun sudah 15 tahun berlalu, penyanyi yang popular menerusi lagu Cinta Waktu Hujan Turun itu berkata kemalangan itu masih segar dalam ingatannya, terutama apabila ia telah mengakibatkan pinggulnya remuk teruk.

“Saya terpaksa berehat selama tiga tahun, ketika itu berat badan terus meningkat dari sehari ke sehari sehingga timbul rasa malu untuk berhadapan umum,” katanya.

Pemilik nama penuh Sharifah Nor Syed Mohd Aljunied, 58, itu ditemui di kediamannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lama sebelum itu, emosi Sherrie terlebih dahulu diuji apabila ditipu bekas pengurus sewaktu ingin menerbitkan album sulungnya ketika berusia pertengahan 20-an.

Kecewa dengan nasibnya, Sherrie mengambil keputusan menamatkan kontrak dengan syarikat rakamannya dan membawa diri dari Singapura.

Mengambil iktibar daripada segala yang terjadi, kisah pergolakan dan musibah yang menimpa hidupnya kini diabadikan Sherrie dalam single terbarunya berjudul Sorang Wanita.

Sorang Wanita diterbitkan oleh Goodsound Publishing/Life Records dan dipasarkan sejak Mei tahun lalu.

“Ibarat gambaran sejarah hidup saya, itulah lagu Sorang Wanita. Ia dicipta sebagai perangsang kepada masyarakat agar tidak sesekali berputus asa. Kalau ada impian, teruskan,” katanya.

Lutut belum longgar

Meskipun kembali untuk menghangatkan industri seni suara dengan semangat juang positif, Sherrie perlu berdepan satu lagi ujian iaitu mengharungi persepsi masyarakat.

“Beberapa individu mempertikaikan mengapa saya tidak bersara sahaja daripada dunia hiburan. Mereka juga bertanya apa lagi ingin dibuktikan sedangkan usia hampir mencecah 60 tahun.

“Malah ada juga yang meminta saya jangan menari nanti lutut longgar. Ada wanita seusia yang tidak menari pun lutut sudah longgar.

“Kita tidak boleh puaskan hati semua orang, yang penting anda perlu mencari kekuatan sendiri dan memberi fokus untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Setakat ini, Sherrie boleh dikatakan masih ligat di pentas dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk memberikan persembahan bertenaga.

Rahsianya, dia sudah 17 tahun mengamalkan terapi alternatif dari Jepun iaitu Reiki, dan malah sudah 11 tahun bergelar reiki master bertauliah.

Selain itu, Sherrie turut mengajar zumba, aerobik dan tarian belly.

“Saya mengamalkan Reiki untuk membina kekuatan dari sudut emosi dan fizikal. Ada rakan dan pelajar menjadikan saya sebagai pendorong mereka untuk kekal sihat,” katanya.

Lihat Komen