malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Bantu pesakit impian Jupe yang belum terlaksana
Diterbitkan:  Sep 18, 2017 1:27 PM
Dikemaskini: 6:52 AM
ADS

Selepas 100 hari dikebumikan, keluarga Julia Perez mendedahkan masih ada keinginan selebriti Indonesia itu yang masih belum disempurnakan ketika hayatnya.

Sejak sekian lama, Julia atau lebih mesra dengan panggilan Jupe memasang harapan untuk mendirikan sebuah rumah kebajikan bagi membantu pesakit yang memerlukan rawatan.

Menurut adik Julia, Nia Anggia, keinginan arwah kakaknya itu tetap ingin diteruskan walaupun bukan mudah baginya membina sebuah yayasan.

Bagaimanapun, katanya, dia terlebih dahulu memohon maaf sekiranya penubuhan rumah kebajikan itu berada di luar kemampuannya.

“Rumah kebajikan masih belum terlaksana, untuk menyiapkan sebuah yayasan itu tidak mudah, ia memerlukan waktu, kesabaran dan insya Allah akan diusahakan sama ada lambat atau tidak.

“Jika saya mampu, rumah kebajikan itu akan disiapkan. Tetapi kalau di luar kemampuan, saya hanya mampu menyesali dan meminta maaf,” kata Nia seperti dilapor kapanlagi.

Julia menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 10 Jun lalu ketika berusia 37 tahun selepas lama bertarung nyawa melawan penyakit barah pangkal rahim peringkat keempat.

Penyakit itu dikesan seawal tahun 2014 selepas penyanyi Aku Rapopo itu menjalani rawatan di Singapura.

Kesihatan Julia dilaporkan semakin merudum sejak Februari dan arwah sempat menjalani beberapa kali rawatan intensif.

Julia dikebumikan di Pondok Ranggon, Jakarta Timur beberapa jam selepas disahkan meninggal dunia.

Bina surau untuk penduduk

Selain rumah kebajikan, Julia pernah menjual cincin berlian kesayangannya untuk membiayai pembinaan sebuah surau.

Menurut ibu Julia, Sri Wulansih hingga kini pembikinan surau yang diberi nama Ar-Rahmah - diambil sempena nama asli Julia iaitu Yuli Rachmawati itu - sudah 70 peratus siap dan mula digunakan.

“Alhamdulillah, banyak jemaah kerana lokasi tempat yang jauh dari masjid. Sebab itu kami membina surau di tempat yang mudah dikunjungi penduduk. Alhamdulillah.

“Sebenarnya surau ini akan menjadi kejutan apabila Jupe sembuh, tetapi ternyata takdir berbicara pada sisi lain.

“Kami juga merancang untuk mendirikan sebuah tempat mengaji al-Quran. Tetapi kami tidak pasti, kalau ada rezeki dari sesiapa mungkin boleh dibuat.

“Kita tidak tahu bagaimana ketentuan Allah,” katanya.

Lihat Komen