malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Nisaa' - Kisah gelisah di dapur arang
ADS

ULASAN DRAMA | Apabila drama Nisaa’ dimulakan dengan ayat kedua surah an-Nisaa’, saya mula ragu. Adakah selepas itu akan muncul adegan di dataran bertanah pasir, pelakon berpakaian serba putih merayu-rayu minta diselamatkan daripada api yang membahang?

Atau, akan muncul watak-watak berserban sebesar bakul dan tak henti-henti menggentel tasbih yang sebenarnya mereka hanya watak antagonis dalam drama tersebut?

Selepas itu, muncul imej Husin (Jaz Iswazir) di almari kaca sebuah kedai jahit sedang melihat baju kebaya labuh merah.

Ah, saya menjadi semakin skeptikal!

Mungkin drama ini akan menjadi seperti drama-drama lain arahan Rashid Sibir yang pernah saya tonton. Saya mungkin akan berhadapan dengan adegan demi adegan yang menyayat hati. Emosi saya akan didera semahu-mahunya.

Tetapi tidak. Apa yang saya bayangkan itu tidak berlaku dalam drama arahan Hisyamudin Ahmad dan diterbitkan oleh Unit Drama RTM ini. Saya kelaskan Nisaa’ sebagai sebuah drama Islami. Malahan inilah drama Islami yang saya nanti-nantikan.

Bukan drama opera jam tujuh

Bagi saya drama Islami tidak semestinya berkisar tentang kisah orang masjid berserban dan bertudung labuh sahaja. Lebih jelik lagi watak-watak berperawakan alim digambarkan jahat pula. Itu satu sisi stereotaip drama-drama Melayu.

Oleh yang demikian, amat sesuai drama Nisaa’ itu mengisi slot Panggung RTM bersempena dengan Hari Raya Aidiladha. Nisaa’ memberikan sisi lain daripada yang selalu saya tonton dalam drama-drama Melayu.

Kalau kita mahukan pelakon perempuan yang bertudung – ada dalam drama ini. Watak Nisaa’ diperan dengan baik oleh Mardiana Alwi.

Ya, Nisaa’ bertudung dan meyakinkan sebagai wanita yang bertudung. Bukan seperti yang pernah saya tonton dalam opera sabun pukul tujuh – meskipun telah sah bergelar isteri, masih bertudung litup tidur sebilik dengan suami.

Drama Nisaa’ berlegar tentang kisah pekerja-pekerja di kilang arang. Drama ini menyinggung hak pekerja dan politik kilang. Tentang orang yang sanggup melakukan apa-apa sahaja demi duit, pengaruh dan kuasa.

Watak-watak dalam drama ini mempunyai karektor yang tersendiri. Watak-watak ini mewakili sikap manusia di sekitar kita dalam kehidupan sebenar di dunia yang lebih luas daripada kilang arang.

Kilang arang itu bagaikan lambang sebuah kehidupan masyarakat yang tamak haloba dan penuh tipu daya. Aji misalnya cuba bersikap vokal untuk menunjukkan bahawa dia berkuasa untuk mengawal dan mengatur pekerja-perkerja kilang.

Namun, tindakan Aji tidak disenangi oleh Pak Yan (Radzi Othman) dan Kelok (Azman Hassan), dua orang lama di kilang arang. Mereka telah bertindak terhadap Aji sehingga menyebabkan Aji hampir-hampir menemui maut.

Rezeki Tuhan bagi

Ugutan menjadi senjata yang ampuh untuk mengekalkan penguasaan dan menutup mulut musuh. Kekerasan digunakan untuk menyekat kepongahan yang dilakukan daripada terbongkar.

Enang (Supra), Sina (Zainorhisyam Samudin) dan Mukhriz (Mukhris Mahazir) ialah wakil golongan bawahan yang cuba bersuara untuk mempertahankan hak mereka. Mereka berasa tidak senang hati apabila Kelok mula mengambil pendatang asing tanpa izin untuk bekerja di kilang arang.

Dalam ketiga-tiga watak ini, Mukhriz mewakili golongan berpandangan agama.

“Kalau korang nak ikut Kelok, ikut. Aku nak ikut rezeki yang Tuhan bagi,” kata Mukhriz. Watak seperti Mukhriz memang banyak dalam realiti kehidupan.

Ada kalanya mereka menyangka tindakan mereka suci kerana bersandarkan nama Tuhan dan Islam. Tanpa menyedari bahawa mereka sebenarnya hanya bertindak gila dengan menggunakan nama Tuhan dan Islam.

Golongan seperti inilah yang mewajarkan tindakan melaungkan azan sebelum murid-murid masuk ke dewan peperiksaan. Menjual air anugerah yang kononnya telah dibacakan ayat-ayat suci. Berdoa di dalam laut untuk merasmikan tukun tiruan.

Bangsa pula dijadikan alasan untuk mewajarkan kerja kotor. Pak Yan mewajarkan tindakannya mengutip wang perlindungan daripada pekerja asing atas alasan bangsa. Atas alasan “tanah ini kita punya”.

Di samping itu, meskipun melakukan kerja kotor, mulut basah dengan kata-kata beralaskan agama. Enang yang sebenarnya bermata nakal menuduh Nisaa’ melakukan maksiat dengan berjumpa Aji di kilang arang.

Pak Yan pula berkata bahawa Aji patut takut akan Tuhan, bukan dia. Selain itu, Wak Dolek memberikan alasan “Tuhan sayang” terhadap misteri kehilangan Husin.

Semua itu hanya kata-kata agama daripada orang yang sebenarnya berjiwa keji.

Drama Nisaa' bagaikan terpecah kepada dua bahagian dengan menggunakan surah An-Nisaa’ ayat dua sebagai penanda. Surah ini muncul pada awal cerita dan pertengahan cerita. Mafhum surah ini terbuka kepada pelbagai tafsiran jika mahu dikaitkan dengan drama Nisaa’.

Asap, arang dan debu

Pada bahagian yang pertama, kita diperkenalkan dengan watak Husin yang amat menyayangi kakaknya, Nisaa’. Husin telah datang bekerja di kilang arang demi mencari wang untuk menghantar kakaknya ke Mekah.

Namun, niat baiknya untuk bekerja itu tidak berlangsung dengan mudah. Dia berhadapan dengan Kelok, Pak Yan dan Aji yang mempunyai agenda tersendiri di kilang kepunyaan Wak Dolek.

Pada bahagian yang kedua, Nisaa’ mengambil keputusan untuk bekerja di kilang arang. Dia mahu mencari sebab Husin dibelasah dengan teruk.

Bagaimanapun, Nisaa’ terperangkap dengan keserakahan perangai Pak Yan, Kelok dan Wak Dolek.

Hampir kebanyakan lokasi drama Nisaa’ adalah di dapur arang dan hutan paya bakau di Kuala Sepetang, Perak. Lokasi yang sememangnya menarik untuk penggambaran drama. Drama ini barangkali lebih menarik jika terdapat paparan dekat dan separa dekat secara kreatif imej asap dapur arang, debu abu, akar bakau, dan tekstur kayu bakau.

Begitupun, fotografi arahan Nasarudin Ahmad Kamal tetap memberikan kesan emosi kepada penonton. Saya paling gemar adegan pada waktu malam semasa Kelok bertemu dengan Wak Dolek pada awal cerita. Sewaktu Wak Dolek tidak berpuas hati dengan tindakan Kelok mengambil pekerja asing.

Begitu juga adegan ketika Aji bertemu dengan Wak Dolek di tempat yang sama. Wak Dolek meminta Aji memerhatikan tingkah laku Kelok dan memberikan harapan kepadanya untuk mengambil alih tugas Kelok.

Kalah dengan sabar

Wak Dolek dengan lagak bosnya duduk di kerusi sambil minum air daripada kole besar.

Aji dengan ekspresi gembira berlalu sambil menyanyikan bait “akan datang akhir Disember” petikan lagu Akhir Disember dendangan Kopratasa, lirik daripada sajak Abdul Aziz HM.

Wak Dolek bagaimanapun, bereaksi dengan menyemburkan air yang diminumnya melalui tingkap.

Banyak lagi adegan lain dalam drama Nisaa’ yang memungkinkan pelbagai tafsiran daripada penonton. Paling simbolik ialah adegan permainan meneka perkataan pada kertas yang tertampal di dahi yang dimainkan oleh Pak Yan, Enang dan Husin.

Kekuatan drama Nisaa’ ialah dialog yang bernas dan bernyawa. Sudah lama saya tidak menonton drama yang mempunyai dialog yang kuat seperti ini. Namun, sayangnya ada kala lontaran dialog daripada pelakon tidak begitu jelas. Hal yang demikian menjejaskan konsentrasi dan keasyikan dalam menonton drama ini.

Dialog-dialog bernas ini mengingatkan saya akan drama-drama yang skripnya ditulis oleh Shahrom Mohd Dom dan Azizi Haji Abdullah pada tahun-tahun 1980-an. Kredit wajar diberikan kepada penulis skrip drama ini, Azharul Azmir Kamarulzaman.

“Gunting kalah dengan batu. Batu kalah dengan kertas. Kertas kalah dengan gunting. Kaya ke, hebat ke, bijak ke, kita kalah dengan sifat sabar,” kata Wak Dolek. Antara dialog bernas dan bernyawa dalam drama ini.

Contoh lain ialah dialog sarkastik, “Tangan kotor boleh makan ya?” yang dituturkan oleh Nisaa’ kepada beberapa orang pekerja yang sedang makan. Pada waktu itu, Kelok sedang berjalan untuk menemuinya.

Drama Nisaa’ ditutup dengan gerimis di pekarangan kilang arang, tempat berlaku pelbagai peristiwa jelik demi duit, pengaruh dan kuasa.

“Aku suka gerimis. Dia romantis,” kata Wak Dolek.


RIMANILZAH lelaki dari 'kota basah' di utara semenanjung. Peminat filem, buku, sajak dan barang vintaj, dulu dia lelaki urban sebelum kini berubah menjadi lelaki uban.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen