malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Zahiril teruja One, Two, Jaga bogelkan amalan rasuah
ADS

Dua dalam satu - hiburan dan mendidik masyarakat - menjadi matlamat Zahiril Adzim hasil daripada lakonannya dalam filem One, Two, Jaga.

Ia bukan sebuah kisah biasa-biasa sebaliknya sebuah filem yang berani menyelongkar 'kotoran' yang kadang-kadang sengaja disembunyikan 'di bawah tikar'.

Ia adalah tentang gejala rasuah dan salah guna kuasa di kalangan pihak berkuasa, termasuk polis.

“Kadang-kadang orang tidak menyedari daripada sekecil-kecil hadiah yang diberikan pun boleh dianggap sebagai rasuah.

“Ia berlaku tidak kira sama ada dalam institusi politik, polis ataupun di peringkat jawatankuasa kampung," katanya.

Zahiril atau nama penuhnya Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 35, ditemui pada sidang media sempena Festival Filem Malaysia di Kuala Lumpur kelmarin.

Untuk rekod, dua tahun lalu iklan acah One, Two, Jaga pernah memenangi tajaan kelengkapan kamera berteknologi tinggi bernilai S$25,000 (RM77,870) di Southeast Asian Film Financing (SAFF) Singapura.

Filem itu mengalahkan 140 filem dari 23 negara yang turut bertanding.

Harap dapat jentik mata

Selain Zahiril, filem aksi itu turut menampilkan gandingan pelakon dari Malaysia dan Indonesia seperti Beto Kusyairi, Sofia Jane, Zaidi Omar, Amerul Affendi, Ario Bayu dan Asmara Abigail.

Filem arahan Nam Ron itu mengisahkan bagaimana aktiviti rasuah semakin menjadi barah dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sesuai dengan kedudukan PDRM sebagai pasukan yang berkuasa, kisah mengenai rasuah membabitkan jabatan itu memang sangat jarang diketengahkan dalam sesebuah filem tempatan.

Justeru, Zahiril boleh berbangga apabila ditawarkan untuk menjayakan naskhah berkenaan.

"Saya amat teruja dapat terbabit dalam filem seperti ini. Memang payah nak nampak karya yang menceritakan keburukan anggota PDRM, tetapi kali ini Bront Palarae - selaku penerbit - berjaya melakukannya.

"Namun, PDRM tetap meletakkan syarat iaitu penceritaan harus mengandungi mesej yang dapat memberi pengajaran dan teladan kepada anggota polis supaya menjauhi rasuah," katanya.

Zahiril yang pernah menulis buku berjudul Bogel Menuju Tuhan turut mengulas amalan rasuah yang dikatakan semakin menjadi-jadi di kalangan penggiat industri hiburan tempatan.

Zahiril meluahkan kekesalannya terhadap isu itu apabila ada pegawai kanan sesebuah stesen televisyen diketahui mengamalkan ‘duit tepi.’

“Pihak menerima dan memberi rasuah sila berhenti daripada melakukan kerja haram itu.

“Kepada penggiat seni lain, bangun dan laporkan sekiranya anda menjadi mangsa atau menyedari terdapat aktiviti rasuah kerana ia dapat menyelamatkan industri daripada terus tercemar.

"Semoga One, Two, Jaga dapat menjentik setiap mata umum bahawa hakikatnya kita sedang berhadapan rasuah setiap hari," katanya.

Lihat Komen