malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Dituduh menipu Raja Ilya kata bye bye
ADS

Raya Ilya mendakwa statusnya yang tidak sepopular pelakon lain menyebabkan ada pihak sengaja mendakwa dia sengaja berbohong untuk meraih publisiti murahan dengan mengaku bakal membintangi filem Marvel terbitan Hollywood.

Bagaimanapun dia tidak begitu terkesan dengan tuduhan sedemikian.

Malah Raja Ilya menganggap tuduhan sedemikian hanya akan menjejaskan pihak yang melemparkan tohmahan ke atas dirinya.

“Perkara ini ibarat cucuk mata orang tetapi terkena mata sendiri. Kalau anda ingin menuduh saya penipu, maka baiklah, bye bye saja," katanya yang jelas enggan melayan kerenah pihak yang tidak senang dengan dirinya itu.

Raja Ilya kemudian meminta orang ramai memahami bagaimana keadaan jika dia mempunyai jutaan peminat di Malaysia dan membuat kenyataan sama sepertinya, iaitu mendapat tawaran berlakon Hollywood.

"Adakah anda masih akan anggap saya sebagai penipu? Sudah pasti tidak," katanya.

Justeru kata pelakon drama Tuan Anas Mikael itu disebabkan dia tidak cukup popular dan belum mempunyai ramai pengikut di media sosial, cukup mudah untuk orang lain menghukumnya sebagai penipu.

Pemilik nama penuh Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, 32, itu ditemui pada sidang media Festival Filem Malaysia ke-29 di Kuala Lumpur semalam.

Sebuah laman sesawang sebelum ini mempertikaikan kesahihan dan kewujudan kontrak membintangi filem Marvel yang ditawarkan kepada Raja Ilya.

Menurut portal itu, sekiranya tawaran berkenaan benar-benar wujud, mengapa tiada sebarang pengumuman atau publisiti mengenai berita itu dibuat oleh media dari luar negara.

Sedia buang ketulan

Raja Ilya yang dilihat seolah-olah mengelak daripada memberi sebarang gambaran jelas mengenai tarikh sebenar penggambaran dan tajuk filem yang akan dibintanginya itu menguatkan lagi kesangsian berkenaan.

Meskipun dituduh berbohong, wanita kacukan Melayu, Arab dan Malayalam itu tidak cepat melatah.

Sebaliknya Raja Ilya yakin suatu hari nanti dia dapat membuka mata pihak yang membuat anggapan salah terhadap dirinya selain berharap peminat dapat menunggu penuh sabar.

“Hanya perlu tunggu dan masa akan membuktikan sama ada saya salah atau pun tidak,” katanya.

Ia bukan kontroversi pertama membabitkan pelakon yang pernah memenangi pengiktirafan Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2015 itu.

Pada Julai lalu, nama Raja Ilya menjadi perhatian selepas dia menyatakan kesanggupannya berdepan risiko dibedah semata-mata kerana ingin mengubah penampilan.

Bagaimanapun, beberapa hari selepas dikecam tidak mempunyai pegangan agama Raya Ilya tampil menjelaskan bahawa prosedur akan dijalankan cuma menyambung proses membuang ketulan pada badan yang dihidapi sejak setahun lalu.

“Kini saya sudah bersedia untuk menghabiskan semua pembedahan (membuang ketulan berkenaan) pada tahun ini.

“Selepas itu saya akan memulakan rutin latihan senaman bagi proses membaik pulih badan sebelum berangkat ke luar negara bagi menjalani penggambaran filem Marvel itu,” katanya yang hanya memberitahu penggambaran bakal dijalankan pada awal Januari tahun depan.

Lihat Komen