malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Bukan berlagak diva tetapi Ayda Jebat menolak lamaran menyertai Akademi Fantasia Megastar AF (AF Megastar) kerana peluang itu mahu diberi kepada orang lain.

Yakin dengan setiap perancangan Ilahi, penyanyi itu juga berpendapat rezeki kepadanya buat masa ini sudah mencukupi untuk menjalani kehidupan harian.

“Keputusan tidak mahu memasuki pertandingan sebegini dilakukan jauh sekali kerana berasakan diri ini sudah diva ataupun amat popular.

“Sebaliknya, tempat saya diberikan kepada peserta yang berhak. Suatu hari nanti mereka akan dapat berkongsi hadiah atau wang dengan adik, ibu bapa atau isteri masing-masing. Rezeki saya sudah cukup, berikan ia kepada mereka pula,” katanya yang juga seorang pelakon.

Ayda atau nama aslinya Nur Suhada Jebat, 25, ditemui pada sidang media pelancaran runut bunyi dan trailer filem Pinjamkan Hatiku di Kuala Lumpur semalam.

Turut bergandingan dengan Ayda menjayakan buah tangan terbaru Osman Ali itu adalah Shaheizy Sam dan Farid Kamil.

AF Megastar sebuah program realiti terbaru menampilkan bekas peserta AF dari musim pertama 2003 hingga AF musim ke-13 tahun lalu.

Sebelum ini, penyanyi lagu Nakal Nakal Nakal itu dispekulasi menolak peluang diberikan kerana berkecil hati.

Ayda sebelum ini pernah disingkirkan daripada AF pada 2009.

Namun, kepada media Ayda menjelaskan antara sebab lain keputusan itu diambil adalah kerana kesibukannya memenuhi jadual kerja.

Kejadian bot terbalik

Dalam pada itu, berkongsi mengenai Pinjamkan Hatiku, selaku teraju utama, anak kelahiran Melaka itu berkata banyak peristiwa hitam tidak boleh dilupakan sewaktu penggambaran dijalankan.

Tambahnya, pelbagai cabaran perlu ditempuh untuk menyempurnakan naskhah yang bakal menjengah pawagam 30 November depan itu.

“Begitu payah untuk menyiapkan filem ini. Terdapat beberapa rintangan kami perlu hadapi antaranya semasa babak menaiki rakit saya mengalami kecederaan teruk pada bahagian muka dan kaki.

“Ada pula kejadian bot terbalik bersama krew yang tidak pandai berenang malah abang Osman pun pernah terjatuh dalam air

“Selain itu, paling mendukacitakan, seorang daripada anggota kru meninggal dunia,” katanya yang berharap ada hikmah di sebalik kejadian.

Lihat Komen