Pengalaman aneh Beto saksi telepati kembar isteri


(Dikemaskini )

Tidak pernah mudah untuk menguruskan anggota keluarga atau orang dekat dengan kita yang terbabit dalam kemalangan. Dan ia boleh berlaku kepada sesiapa saja.

Pengalaman itulah yang dirasai sendiri pelakon Beto Kusyairi.

Walaupun bukan berlaku ke atas anggota keluarganya secara langsung, namun Betto sangat terkesan apabila kemalangan maut berkenaan menimpa kakak kembar isterinya.

Kata Beto, pelbagai kejadian luar jangka turut berlaku apabila dia menyaksikan sendiri isterinya, Tisha Shahar, mengalami beberapa ‘kejutan’ kuasa telepati dengan kakaknya pada ketika itu.

“Nisha Shahar terbabit kemalangan dengan sebuah treler yang diletak di bahu jalan sekitar 2005. Mayatnya perlu dibedah siasat.

“Ketika mayat Nisha dibedah, Tisha merasakan kesakitan pada dada, selain sukar bernafas. Lalu bapa mentua saya meminta prosedur bedah siasat itu segera dihentikan," katanya.

Beto menjelaskan isterinya - Tisha - turut mengalami pelbagai kejadian aneh ketika Nisha ditimpa kemalangan.

Misalnya kaki Tisha yang terasa kebas tiba-tiba semasa Nisha koma.

Tunggu mayat anak

Untuk rekod ketika kejadian malang itu berlaku Beto belum bernikah, namun dia mengikuti perkembangan kembar itu secara dekat disebabkan hubungannya dengan Tisha.

Beto atau nama sebenarnya Nurkusyairy Zakuan Osman, 37, ditemui pada majlis pratonton filem terbarunya Bisik Pada Langit di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bisik Pada Langit ialah kisah penuh emosi memaparkan bagaimana hubungan kekeluargaan diuji apabila seorang daripada anggota mereka terbabit kemalangan di luar negara.

Seorang bapa - lakonan Jalil Hamid - terpaksa mengharungi detik-detik menyayat hati apabila jenazah anak perempuannya harus menjalani beberapa prosedur sebelum boleh dihantar pulang ke tanah air.

Filem turut dikisahkan dengan elemen persahabatan, cinta dan ketentuan takdir itu turut dibintangi Ummi Nazeera, Datin Fadhilah Mansor dan Naim Daniel.

Beto berkata, peristiwa hitam yang dekat di hatinya itu menjadi antara penyebab dia ingin menjayakan naskhah arahan Kabir Bhatia yang bakal menjengah pawagam 21 September ini.

“Perkara cukup berat seperti ini boleh berlaku kepada mana-mana keluarga di luar sana. Bisik Pada Langit ini mengajak penonton sama-sama berkongsi rasa,” katanya.

Kata pelakon Lelaki Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2015 itu, sudah tentu faktor penerimaan tawaran juga dipilih kerana kualiti skrip yang bagus selain pelakon dan pengarah yang serius bekerja.

Pun begitu, Beto tidak menolak untuk memberi peluang dan ruang sekiranya diberi tawaran untuk bergandingan dengan mana-mana pelakon baru asalkan mereka menetapi syarat.

Baru-baru ini, seorang penyanyi meningkat naik, Wany Hasrita pernah menyatakan hasratnya untuk bergandingan dengan Beto sebagai heronya.

“Saya bukan terlampau memilih tetapi harus tengok dulu siapakah gandingan, jika pelakon itu masih baru tetapi benar-benar serius dan ingin mencuba mengapa tidak?” katanya.

Untuk makluman, penyanyi popular menerusi lagu Menahan Rindu itu bagaimanapun masih belum bersedia untuk berlakon dan pernah menolak beberapa tawaran kerana tidak mahu dianggap sebagai "pelakon kayu".