malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Jangan hina artis terpaksa 'kerja kilang'
ADS

Pelakon veteran Jalil Hamid merasa "terseksa" apabila melihat segelintir masyarakat yang seakan memperlekehkan pelakon yang membuat pekerjaan lain untuk menyara kehidupan.

Bagi Jalil, orang ramai perlu memahami realiti yang dihadapi pelakon ketika ini, yang terpaksa melakukan pekerjaan lain apabila tawaran daripada penerbit tidak lagi sebanyak dulu.

Katanya, apatah lagi apabila sesetengah stesen televisyen hanya memilih pelakon yang popular, seterusnya mengenepikan pelakon lain yang berpengalaman dan berbakat.

“Terus-terang sahaja, dalam usia begini, aktor veteran menanggung banyak 'rasa' kerana laluan untuk kami menghiasi kaca televisyen semakin sukar.

"Kami tidak kisah buat kerja apa pun. Namun persepsi masyarakat yang sukar dibendung menjejaskan emosi segelintir rakan seangkatan yang kini langsung tidak menerima tawaran (berlakon).

"Misalnya apabila ada yang menjadi pekerja kilang, segelintir masyarakat menyindir mereka dan ini menjadi penderaan mental (buat mereka)," kata pelakon berusia 60 tahun itu lagi.

Jalil atau nama penuhnya Abdul Jalil Hamid berkata demikian ketika ditemui di majlis pratonton filem Bisik Pada Langit di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Filem arahan Kabir Bhatia itu bakal menjengah pawagam di seluruh tanah air pada 21 September ini dan turut dibintangi pelakon Beto Kusyairy dan Ummi Nazeera.

Jalil terkenal sebagai pelakon versatil yang mampu memegang pelbagai jenis watak dengan berkesan. Selain itu beliau juga terkenal sebagai penyanyi dan pelawak.

Bersyukur dengan bakat yang ada, beliau berkata ia mungkin antara punca mengapa dirinya mampu meneruskan kehidupan dan menyara keluarga walaupun di saat tidak mendapat sebarang tawaran berlakon.

“Allah beri rezeki lebih yang membolehkan saya menyanyi dan melawak, ada masanya saya mendapat tawaran sebagai pengacara majlis kahwin.

“Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang hanya boleh berlakon semata-mata, bagaimana mereka menempuh nasib di hari mendatang?" katanya lagi.

Lihat Komen