malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Risau satu demi satu 'aset' Indonesia ke tangan asing
Diterbitkan:  Sep 11, 2017 10:00 AM
Dikemaskini: Sep 12, 2017 3:28 AM
ADS

Berdepan dengan letusan maklumat dan perkembangan media sosial memang kadang-kadang membingungkan sesiapa saja tanpa kecuali.

Presiden Joko Widodo misalnya turut berdepan dengan pelbagai kerenah daripada rakyat Indonesia.

"Kerajaan tidak mampu mengendalikan letusan media sosial," katanya dipetik Kompas semasa menyampaikan ucapan di Universiti Padjadjaran, Bandung, semalam.

Dalam ucapan itu beliau yang lebih terkenal dengan panggilan Jokowi berkata perkembangan media sosial menyebabkan perubahan sangat pantas terhadap semua aspek termasuk komunikasi antara masyarakat dan pemimpin.

Kemudahan media sosial juga katanya menyebabkan beliau pernah mendapat aduan 'luar biasa'.

Katanya dua tiga hari lalu ada orang mengadu kepadanya. Kata pengadu, satu demi satu aset Indonesia kini jatuh ke tangan asing.

"Selepas saya siasat rupanya aduan itu berkaitan dengan Raisa," katanya merujuk kepada penyanyi, Raisa Andriana, yang mula terkenal dengan lagu Serba Salah.

Pola komunikasi berubah

Raisa, 27, dinikahkan dengan Hamish Daud Wyllie, 37, pada 3 September lalu.

"Rupa-rupanya suami Raisa itu orang Australia," kata Jokowi.

Hamish seorang pelakon yang mendapat pendidikan dalam bidang jurubina. Dia bertugas di stesen Trans TV sejak 2013.

Raisa dan Hamish mula menjalin hubungan cinta sejak tahun lalu.

Tidak saja pernikahan Raisa menjadi bahan orang ramai mengadu kepada Jokowi, malah pelakon filem Syurga Yang Tak Dirindukan, Laudya Cinthya Bella.

Kata Jokowi belum sempat hal Raisa dijelaskan muncul pula kisah Laudya yang bernikah dengan orang Malaysia.

Laudya dinikahkan dengan bekas suami Erra Fazira, Engku Emran Engku Zainal Abidin di Kuala Lumpur pada 8 September lalu.

Justeru menurut Jokowi media sosial secara tidak langsung mengubah corak komunikasi masyarakat Indonesia dan membuat mereka lebih mudah berhubung dengan pemimpin.

Lihat Komen