malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Guna FB Live siar filem di pawagam itu kurang ajar
ADS

Farid Kamil beranggapan tindakan pihak menggunakan kemudahan Facebook Live untuk menyiarkan sesebuah filem secara langsung ketika ia ditayangkan dalam panggung sebagai biadab.

Bercakap dengan nada jelas kecewa, pelakon itu menjelaskan perbuatan mengambil kesempatan itu layak disamakan sebagai pencabulan hak cipta selain tidak mengiktiraf hasil usaha penggiat seni.

“Membuat tayangan percuma menggunakan FB Live itu contoh sikap kurang ajar, betul tak? Macam anda masuk ke rumah orang dan tanpa izin anda rakam keadaan sekeliling rumah itu tanpa kebenaran.

"Orang yang melakukan perbuatan keji itu, mungkin ibu bapa dia tidak ajar cara hormat orang lain sejak kecil," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran filem Tombiruo di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menceritakan kesukarannya menyiapkan filem itu Farid berkata mereka berusaha sepenuh hati bagi memastikan ia menjadi naskhah terbaik untuk dihidangkan kepada orang ramai.

Malah katanya mereka bagaikan hidup di luar batas normal di dalam hutan sepanjang tempoh penggambaran itu.

Jika 'dirompak' dengan kemudahan yang ada dalam media sosial, kataya, ia tentu mencalarkan semangat mereka yang bersungguh-sungguh selama lebih enam bulan untuk menyiapkan Tombiruo.

Bulan lalu saja, dua kejadian curi rakam dan siar secara langsung filem tempatan berlaku membabitkan filem Kau Yang Satu arahan Osman Ali dan Abang Log Fadil 2 oleh Syafiq Yusof.

Tak adakah penyelesaian

Bimbang kejadian sama turut berlaku ke atas Tombiruo, Farid menggesa semua pihak memandang serius gejala berkenaan.

Katanya, kegagalan menanganinya boleh menghancurkan industri perfileman dan mencemarkan integriti negara.

Farid pada masa sama turut mempersoalkan mengapa kegiatan cetak rompak masih berlaku selain khuatir isu itu tidak pernah selesai.

“Masalah cetak rompak dah berlaku banyak kali, adakah kita tidak mempunyai jalan penyelesaian?

“Adakah negara ini suka merompak harta benda sendiri? Jika ya, mentaliti begitulah yang sukar kita nak ubah,” katanya.

Menurut Farid, cara menangani hendaklah dilakukan secara menyeluruh dan komprehensif. Sebagai contoh, Farid turut memberi beberapa cadangan.

Untuk membanteras pelanggaran hak cipta, tindakan holistik perlu dilakukan tidak kira bangsa, mahupun pangkat.

"Kerajaan harus menguar-uarkan maklumat mengenai akta harta intelek kerana masih ramai tidak mengerti. Menerusi akta itu sajalah masyarakat akan hormati hak orang lain.

“Pihak berkuasa juga perlu menguar-uarkan penangkapan dan masukkan mereka ke dalam lokap sebagai memberi peringatan kepada orang ramai.

“Atau adakan sekatan dan pemeriksaan ketat ke atas penonton sebelum mereka memasuki panggung untuk memastikan tiada alat perakam dan kumpulkan telefon genggam misalnya.

"Kalau boleh bagi cermin mata 3D pada tiap seorang mengapa yang ini tidak boleh?" soalnya.

Lihat Komen