malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Teater Mek Mulung berusia 500 tahun di UUM
ADS

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah akan menganjurkan program Jangkauan Seni Budaya “Mek Mulung@Sintok “ pada 6 dan 7 Okt ini bagi memberi peluang kepada peminat teater Mek Mulung menyaksikan pementasannya di Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan Kedah Datuk Aminuddin Omar berkata teater Mek Mulung akan dipersembahkan pada malam 7 Okt selepas majlis perasmian oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Aminuddin ketika bercakap kepada pemberita di Alor Setar mengalu-alukan kehadiran orang ramai termasuk pelajar, penggiat seni dan pelancong asing bagi sama-sama menyaksikan persembahan teater mek Mulung ‘Putera Cahaya Bulan’ yang berusia 400 tahun, oleh kumpulan Mek Mulung Seri Mahawangsa yang menggabungkan lakonan, nyanyian, tarian dan alunan muzik.

Katanya, program anjuran bersama Pusat Budaya dan Seni UUM dan Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Kedah (AKRAB), turut menyelitkan beberapa aktiviti dan program bagi menarik lebih 5,000 peminat kesenian Mek Mulung yang dijangka hadir.

Antaranya ialah program pembelajaran dan pengajaran tarian Mek Mulung, muzik Mek Mulung, kraf tangan (props Mek Mulung), pameran dan jualan serta pertandingan irama Malaysia dan muzik kreatif tempatan.

“Kita mengadakan program ini supaya teater Mek Mulung ini dikenali dan diangkat sebagai seni persembahan tradisonal negeri Kedah yang kian terpinggir ditelan zaman, serta memberi pendedahan dan peluang kepada penggiat seni, golongan pelajar dan generasi muda untuk memartabatkan semula seni budaya dan teater tradisional ini sebagai khazanah seni negara.

“Dengan cara kita mampu bersaing di peringkat antarabangsa dan seterusnya memberi impak yang besar kepada industri pelancongan negeri dan negara,” katanya.

Aminuddin berkata kerajaan negeri serius untuk mengangkat teater Mek Mulung dan bercadang untuk mengadakan penjelajahan di seluruh pelosok negeri ini termasuk di Pulau Langkawi pada November ini.

Mek Mulung merupakan teater tradisional yang diangkat sebagai sebuah persembahan berasaskan kesenian setempat yang terdapat di Kampung Wang Tepus, JItra dan pernah dipersembahkan di Istana Budaya pada 2015.

-Bernama

Lihat Komen