Bella, Engku Emran nikah hari ini


(Dikemaskini )

Tanda tanya akhirnya terjawab apabila pelakon Indonesia Laudya Cynthia Bella dan Engku Emran Engku Zainal Abidin mengikat tali perkahwinan hari ini.

Menerusi kad kahwin yang diterima Malaysiakini, kedua-duanya dinikahkan pada pukul 6.30 petang.

Menurut sumber, majlis itu dibuat secara tertutup di sebuah kediaman servis mewah di Kuala Lumpur.

Pasangan itu selama ini kekal berahsia walaupun diburu media tempatan dan Indonesia yang ingin mengetahui tentang perancangan mereka.

Perkahwinan itu ternyata sudah dirancang lebih awal, apabila kad tersebut meminta para jemputan mengesahkan kehadiran sebelum 28 Ogos lalu.

Tema pemakaian majlis itu ialah putih dan kelabu, dengan tetamu diminta memakai batik atau baju tradisional Melayu.

Hubungan cinta Bella dan Engku Emran dikatakan mula berputik selepas mereka dipertemukan oleh pasangan pelakon Nora Danish dan suaminya Nedim Nazri.

Menerusi instagram 6 September lalu, Bella memuatnaik gambarnya mengadakan majlis kenduri doa selamat yang merupakan amalan biasa wanita Indonesia beberapa hari sebelum bernikah.

Pelakon Syurga Yang Tak Dirindukan itu sebelum ini pernah mengikat tali pertunangan dengan anak Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla, Afifudin Suaheli namun tidak berakhir di jinjang pelamin.

Engku Emran pula pernah berkahwin dengan penyanyi dan pelakon Erra Fazira, dan dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Engku Aleesya.