malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Dibaluti kafan ingatkan Ummi pada mati
ADS

Pertama kali dikafankan semasa membawa watak Hajar dalam Bisik Pada Langit mengajar pelakon Ummi Nazeera mengenai pengalaman berdepan detik kematian.

Ummi berkata, apabila badannya dibaluti kain kafan, seluruh bulu romanya mulai meremang dan keadaan itu dialami sepanjang babak dia menjadi jenazah.

“Pada mulanya memang saya tidak mahu fikirkan apa-apa waktu itu, tetapi tiba-tiba mula teringat beginilah rasanya apabila kita mati nanti.

“Ini adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan terutama apabila perlu belajar bagaimana untuk memastikan babak itu seperti tidak dibuat-buat.

“Saya belajar dengan Uncle Jalil (Jalil Hamid) bagaimana untuk memastikan anak mata tidak bergerak-gerak ketika mata dipejamkan,” katanya.

Ummi atau nama penuhnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin, 26, ditemui pada majlis pratonton filem Bisik Pada Langit di Kuala Lumpur semalam.

Selain pengalaman menjadi mayat, cabaran lain perlu ditempuh isteri kepada Dr Mohd Izzar Anwari Abdul Khani itu adalah ketika perlu melakonkan adegan sedang nazak.

“Kedua-dua kaki saya sampai naik kejang semasa melakonkan babak di hospital,” katanya.

Filem arahan Kabir Bhatia itu bakal menjengah pawagam di seluruh tanah air pada 21 September depan.

Selain Ummi dan Jalil Hamid, turut menjayakan Bisik Pada Langit adalah Erwin Dawson, Betto Kusyairi, Datin Fadilah Mansor, dan Na’im Daniel.

Mengenai penerimaan watak, Ummi berkata dia menitikberatkan beberapa perkara sebelum menyatakan persetujuan untuk menjayakan naskhah berkenaan.

“Banyak perkara saya pertimbangkan antaranya siapa pengarah, skrip yang bagaimana dan watak gandingan.

“Saya begitu teruja gembira berpeluang diambil berlakon sekali lagi di bawah Kabir Bhatia,” katanya yang sebelum ini popular menerusi drama Nur Kasih di bawah pengarah sama.

Lihat Komen