malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Faizal Tahir pernah dilamar masuk politik
ADS

Kecenderungan penyanyi Faizal Tahir terbabit dalam kerja-kerja amal dan sukarelawan baik di dalam mahupun luar negara membuatkan ada pihak berminat melamarnya menyertai parti politik.

Namun, bagi Faizal dia belum bersedia menyertai bidang politik kerana berasa lebih selesa dalam keadaan sekarang.

“Memang ada pihak yang mendekati dan beri perhatian apabila saya giat melakukan aktiviti amal dan sukarelawan, tetapi kalau boleh saya berharap tidak perlu sampai ke tahap itu (menceburi politik)," katanya.

Menurut Faizal, apatah lagi dia kini terlalu sibuk dengan urusan kerja dan percaya dengan rezeki yang telah ditetapkan Illahi buatnya pada masa ini.

“Saya berdoa diberikan jalan yang lurus oleh Allah, apa pun dia beri saya akan menerimanya. Jika tidak boleh buat, saya tidak akan buat melainkan sudah menjadi tanggungjawab,” katanya.

Faizal ditemui selepas sidang media pengumumannya sebagai panel pada Persidangan Sukarelawan Serantau Asia Pasifik IAVE ke-15, di Kuala Lumpur kelmarin .

Nama penyanyi Assalamualaikum itu tidak asing lagi dengan pembabitannya dalam kerja amal kerana sikapnya yang gemar menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Faizal turut menubuhkan sebuah pergerakan dikenali sebagai iAMFaithmen atas inisiatif menyemai sikap positif dalam kalangan masyarakat.

Persidangan IAVE yang dihoskan Yayasan Salam Malaysia itu akan berlangsung pada 22 hingga 26 November depan dan dijangka disertai seramai 350 peserta dari Asia Pasifik.

Berkongsi berita gembira itu, Faizal berkata, IAVE boleh dijadikan platform untuk menarik minat lebih ramai belia menjadi sukarelawan.

“Sebagai penyanyi, saya ingin menggunakan muzik sebagai alat untuk mengajak masyarakat membuat kebaikan dengan menyertai kerja-kerja sukarelawan.

“Memang tidak dinafikan agak sukar untuk menarik perhatian orang ramai apabila bercakap soal kerja amal menerusi cara konvensional, sebab itu saya ingin menggunakan pendekatan ini dengan sebaik-baiknya.

“Justeru, saya mengajak orang ramai agar mereka lebih terbuka untuk menjadikan kerja-kerja sukarelawan sebagai salah satu daripada gaya hidup mereka,” katanya.

 

Lihat Komen