malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Marcell nak tebus hampa dengan Once In A Lifetime
ADS

Penyanyi Marcell berharap dia dapat menebus kekurangannya di depan peminat sejak 15 tahun berkecimpung dalam bidang seni suara melalui konsert solo pertamanya di negara ini tidak lama lagi.

Katanya, ketika industri muzik belum didatangi arus digital, kelewatan karyanya menembusi pasaran Malaysia sebelum ini membuat dia benar-benar berasa hampa.

"Apabila setiap single lagu diterbitkan di Indonesia, pasti peminat di Malaysia ketinggalan untuk memilikinya, kadang-kadang terlewat hingga dua atau tiga tahun.

"Hal itu ternyata sangat mengecewakan dan tidak dapat saya terima.

"Seharusnya, peminat di Malaysia juga berpeluang mendengar setiap karya saya pada saat yang sama seperti di Indonesia," katanya.

Marcell Siahaan, 40, ditemui pada sidang media kedua konsert Once In A Lifetime di Kuala Lumpur hari ini.

Marcell memberitahu, konsert berskala besar itu turut diadakan bersempena meraikan ulang tahunnya yang ke-40 tahun ini.

Sudah pasti, penyanyi Hanya Memuji itu ingin mengabadikan kenangan itu dalam suasana paling meriah dan besar-besaran.

"Menginjak usia 40-an ini membuatkan saya bertambah matang dan berani keluar dari zon selesa.

"Dulu saya hanya orang biasa, sering menaiki kemudahan awam dan berjalan kaki tetapi selepas menerima Anugerah Planet Muzik untuk kategori Persembahan Lelaki Terbaik hidup saya berubah.

"Selepas itu saya banyak belajar mengenai cara orang Malaysia, Brunei dan Singapura dan ingin berkongsi apa yang saya lalui selama 15 tahun ini dalam konsert itu nanti," katanya.

Once In A Lifetime akan diadakan di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 23 September ini.

Noh Salleh dari kumpulan Hujan turut diundang bagi memeriahkan konsert pada malam itu nanti.

Sementara itu, Marcell turut meluahkan rasa terujanya apabila tiket paling mahal - bernilai RM2,099 - untuk kategori Intimate sudah 60 peratus habis dijual.

Kata lelaki anak tiga itu, penjualan tiket yang memberangsangkan membuat perasaannya lebih berdebar-debar kerana pasti peminat mempunyai harapan yang tinggi pada persembahan itu nanti.

"Saya gementar kerana tarikh sudah dekat tetapi berharap dapat memberikan persembahan yang terbaik buat peminat," katanya.

Lihat Komen