malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pak Jabit meninggal dunia
Diterbitkan:  Sep 7, 2017 1:00 PM
Dikemaskini: 10:23 AM
ADS

Man Kadir Samsi atau lebih dikenali sebagai Pak Jabat meninggal dunia hari ini.

Pelakon Hantu Kak Limah Balik Rumah itu menghembus nafas terakhir ketika berusia 68 tahun di sebuah klinik Lanchang, Pahang pada jam 7.10 pagi akibat komplikasi jantung.

Terdahulu, Pak Jabit dilapor rebah di rumah dan dibawa ke klinik oleh anaknya.

Allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Rantau Panjang selepas solat Zohor hari ini.

Selain Hantu Kak Limah Balik Rumah, Pak Jabit turut muncul sebagai pelakon pembantu dalam filem lain arahan Mamat Khalid seperti Man Laksa dan Zombi Kampung Pisang.

Filem berkenaan turut dibarisi popular lain seperti Awie dan allahyarham Zami Ismail.

Di Facebook Pak Jabit, peminat dan rakan-rakan menyifatkan arwah terkenal sebagai seorang yang merendah diri.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mengucapkan takziah kepada Pak Jabit di Twitter miliknya.

Beliau berkata Pak Jabit turut bergiat dalam PKR Pahang.

“Sedih menerima khabar pemergian aktivis PKR Pahang, saudara Man Kadir @ Pak Jabit pagi ini. Doa moga almarhum mendapat husnul khatimah,” tulisnya.

Sementara itu, Bernama melaporkan anak ketiga Allahyarham, Siti Aishah Puteri berkata bapanya meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan kecemasan setelah mengadu sesak nafas sewaktu hendak mengejutkan isterinya untuk menunaikan solat subuh pagi tadi.

"Arwah mula sesak nafas pada 4 pagi dan adik lelaki saya telah bawa dia ke klinik. Setelah mendapatkan rawatan ayah pulang ke rumah sebelum dibawa semula ke klinik. Ayah memang ada masalah jantung tapi cuma batuk-batuk biasa.

"Semalam pun ayah sihat lagi, dia masih pergi ke warung untuk berniaga seperti biasa, malam semalam pun ayah pergi ke hospital untuk melawat menantunya, cuma hari ini dia mula sakit," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

"Jenazah sudah disembahyangkan di rumah tetapi kami sekeluarga akan bawa ayah ke masjid untuk disembahyangkan sekali lagi untuk beri peluang kepada rakan-rakan arwah sertai solat jenazah," katanya.

Pengarah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, Mamat Khalid ketika dihubungi berkata pemergian arwah amat dirasai beliau kerana Allahyarham amat rapat dengan beliau dan keluarga produksi.

"Saya mula mengambil beliau berlakon dari tahun 1998 dalam cerita Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel. Bermula dari situ saya sering mengambil beliau bersama-sama menjayakan filem dan drama saya.

"Lakonan terakhir beliau bersama saya adalah filem 'Manap Karaoke' yang masih dalam proses penyuntingan," katanya.

Pak Jabit terkenal menerusi lakonannya dalam filem-filem komedi arahan Mamat Khalid antaranya Man Laksa, Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tujuh anak.

Sementara itu, anak bungsunya, Abdul Khalid Putra, 28, bapanya mengadu sakit dada kepada keluarganya pada pukul 4 pagi tadi sebelum beliau meninggal kira-kira tiga jam kemudian ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Lanchang.

Beliau berkata, pada mulanya mereka sekeluarga menyangka Allahyarham diserang sakit jantung sebelum bergegas membawanya ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

"Saya bawanya ke klinik. Mula-mula ingatkan ayah ada masalah jantung. Tapi apabila doktor periksa, doktor kata bukan masalah jantung tetapi hanya sakit angin. Ayah kemudian diberikan suntikan sebelum kami membawanya pulang ke rumah.

“Apabila sampai di rumah. Ayah sempat berborak-borak dengan mak sebelum dia kembali tidur. Kemudian masa subuh, sekali lagi ayah kejutkan mak dan apabila mak berpaling kepadanya, ayah didapati berada dalam keadaan sesak nafas,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, melihat keadaan itu beliau cuba memberikan bantuan awal kecemasan (CPR) dan sempat mengajarnya mengucap sebelum membawa semula bapanya ke Klinik Kesihatan Lanchang.

“Saya bawa ayah naik kereta dan di tengah jalan kami tukar menaiki ambulans. Namun ayah disahkan telah meninggal apabila tiba di klinik kesihatan,” kata Abdul Khalid Putra.

Turut berada di sisi Allahyarham ketika itu ialah isterinya Raja Maharani Raja Jaafar, 64.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Kampung Rantau Panjang untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rantau Panjang, Lanchang sebelum waktu zohor.

Turut menziarah jenazah beliau ialah para kru dan penerbit filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang turut dilakonkan Allahyarham.


 

.

Lihat Komen