malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Melalui Thriller, Michael capai impian jadi 'raksasa'
Diterbitkan:  Sep 6, 2017 4:00 PM
Dikemaskini: 10:34 AM
ADS

Penghasilan video muzik Thriller nyanyian Michael Jackson bukan tercetus daripada ilham bernas, tetapi kerana menurut kehendak bintang pop itu untuk "menjadi raksasa", kata pengarahnya John Landis.

"(Thriller) bukan idea bijak oleh sesiapa, ia bukan pelan perniagaan yang bagus. Video muzik itu terhasil kerana Michael ingin menjadi raksasa.

"Ia mula berkembang, dan apa yang terhasil daripadanya sangat berjaya dan membuatkan saya terkejut," katanya seperti dilapor Reuters semalam.

Beliau berkata demikian ketika tayangan versi tiga dimensi (3D) video muzik itu - yang dibuat selepas 35 tahun lagu tersebut menjadi hit di seluruh dunia - dalam satu acara khas di Festival Filem Venice 4 September lalu.

Landis yang juga merupakan pengarah dan penerbit filem berkata, beliau mendapat idea menerbitkan versi 3D video muzik itu kerana ingin "peminat merasai pengalaman seperti Michael ingin anda rasakan.”

Selepas meneliti setiap babak klip tersebut, katanya, beliau mendapati ia tidak sesuai dijadikan dalam versi 3D, tetapi akhirnya berjaya meningkatkan kualiti dalam beberapa bahagian seperti adegan tarian.

“Cuma kekesalan saya, Michael tiada di sini untuk melihat dan mendengar Thriller kerana sudah pasti dia akan sukakannya," katanya lagi.

Dari periang kepada serius

Landis berkata, Jackson pertama kali datang bertemunya kerana ikon muzik itu menggemari karyanya berjudul An American Werewolf in London.

“Rupa-rupanya dia tidak pernah menonton banyak filem seram kerana ia terlalu menakutkannya. Bagaimanapun saya mendapati Michael seorang yang hebat.

“Michael juga ingin menyerupai zombi, namun perkara paling ingin dilakukannya adalah bertukar menjadi raksasa,” katanya sambil berseloroh.

Landis menyifatkannya sebagai "menyeronokkan" dan "keanak-anakan", namun berkata mereka pantas menjadi rapat.

“Michael sentiasa berazam agar segala yang dilakukan harus menjadi terbaik. Beliau mempunyai etika kerja yang hebat dan seorang profesional berpengalaman. Mana tidak, Michael beraksi di atas pentas sejak berusia lapan tahun,” katanya.

Namun, katanya lagi, pertemuan semula dengan Jackson bagi rakaman Black or White pada 1991 menyaksikan perubahan bintang itu, apabila menjadi seorang yang lebih serius dan sentiasa berwaspada.

“Saya tahu bukan mudah menjadi selebriti yang juga individu paling popular di dunia. Bagi seseorang yang bekerja di usia muda, beliau tidak pernah memiliki kenangan zaman kanak-kanak. Sebab itulah beliau berminat untuk memilikinya ketika dewasa,” katanya.

Lihat Komen