malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Penerbit Tombiruo nafi ketepi Nasir Jani
ADS

Tidak timbul isu siapa pengarah sebenar filem Tombiruo: Penunggu Rimba, sama ada Nasir Jani atau Seth Larney, kata salah satu penerbit filem itu.

Walaupun timbul cakap-cakap tidak puas hati sesetengah pihak mengenai status sebenar Nasir sebagai pengarah, Ketua Astro Shaw Sdn Bhd, Najwa Abu Bakar berkata, tugas Nasir tetap dihargai walaupun namanya diletakkan sebagai pengarah bersekutu.

“Sebenarnya tidak timbul pertikaian seperti yang didakwa sesetengah pihak. Kami sudah berbincang terlebih dahulu malah Nasir sedia maklum mengenai perkara berkenaan.

"Semasa memulakan penggambaran, kami dapati Larney dan Nasir masing-masing mempunyai kepakaran tersendiri.

“Justeru, menjadi keutamaan kami untuk memberi fokus pada bidang kepakaran mengikut nilai individu terbabit agar memperoleh hasil yang bagus,” katanya kepada Malaysiakini.

Jaga sentimen Melayu

Nasir membuat kemunculan semula yang signifikan dalam perfileman selepas bertahun-tahun hilang dari radar dunia seni itu.

Namanya disebut sebagai pengarah Tombiruo semasa pengumuman pembikinan filem berkenaan pada Ogos tahun lalu.

Larney pula dipilih sebagai pengarah bersama dan penyelia kesan khas.

Tombiruo adalah filem pertama buat Nasir selepas hampir tiga dekad sepi daripada aktiviti pengarahan filem.

Bagaimanapun, melalui iklan acah filem itu baru-baru ini nama Nasir diletakkan sebagai pengarah bersekutu saja, manakala Larney menjadi pengarah.

Nasir diingati ramai dengan buah tangannya sebagai pengarah Kembara Seniman Jalanan pada 1986. Dia sempat mencetuskan beberapa kontroversi selepas itu.

Setahun kemudian dia kembali dengan filem kedua, Rozana Cinta 87.

Larney pula pernah terlibat dalam beberapa filem Hollywood seperti The Matrix Reloaded, Star Wars: Revenge of the Sith, X-men Origins: Wolverinedan Superman Returns.

Ditemui pada sidang media pelancaran filem Tombiruo di Kuala Lumpur hari ini Najwa berkata naskhah diadaptasi daripada novel thriller karangan Ramlee Awang Murshid itu bakal menemui penonton pada 12 Oktober depan.

Tombiruo dijayakan barisan pelakon antaranya seperti Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein, Hasnul Rahmat, Datuk M Nasir dan Datin Marlia Musa.

Dalam pada itu, Najwa menjelaskan tiada isu siapa lebih ke depan atau menonjol dalam pelaksanaan tugas diberi.

“Kita tidak melihat begitu. Tugas Nasir adalah menjaga sentimen kemelayuan yang tidak difahami oleh Larney.

“Nasir tidak duduk di belakang kerana ada masanya dia juga berdiri di depan. Mereka berdua bekerja keras menyumbangkan tenaga untuk Tombiruo,” katanya.

Sementara itu Nasir ketika dihubungi Malaysiakini berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai sidang media diadakan pada siang tadi.

"Tak tahu pun ada sidang media hari ini. Tak ada jemputan," katanya.

Bagaimanapun untuk rekod, selain Nasir, Larney juga tidak kelihatan pada majlis berkenaan.

Lihat Komen