malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pesta Ngulor yang positif dan harmoni
ADS

Istilah mengular - atau di sesetengah tempat disebut ngulor - sudah lazim dengan konotasi malas, curi tulang, sambil lewa dalam pekerjaan dan sebagainya.

Tidak ada nuansa yang selain kecuali menggambarkan keadaan buruk dan negatif. Ia tersimbol daripada keadaan ular yang kekenyangan selepas membaham mangsanya.

Bermalas-malasan waima untuk bergerak sedikit pun, akibat tembolok sudah penuh.

Namun konotasi sesuatu keadaan sama ada negatif atau positif tidaklah terlepas daripada pandangan relatif sesuatu pihak yang memandang.

Mengular barangkali pada kaca mata sang kapitalis adalah musibah, walhal daripada sisi proletariat merupakan aksi protes kecil-kecilan.

Namun berbeza pula pendekatan yang digunakan sekumpulan anak muda yang mengelar diri mereka sebagai Sarikat Indie Timor.

Selepas berpakat, mereka membawakan Pesta Ngulor kepada masyarakat setempat di Kuantan.

Untuk membangkitkan naluri nostalgia buat pesta keramaian berkonsepkan suasana seperti dalam filem Man Laksa oleh Mamat Khalid lewat tahun 2006, mereka memberi perhatian berat kepada pemilihan lokasi.

Sarikat Indie Timor juga menyediakan saluran kepada belia khususnya untuk berkumpul, menzahirkan minat mereka terhadap seni penulisan, bacaan sajak dan musik berunsurkan rakyat di sekitar Kuantan melalui Pesta Ngulor.

Melalui kolaborasi bersama pelbagai kumpulan di sekitar Kuantan - seperti Read On Us, Koya Clothing, Rajawali Art Group, Tourism Pahang dan Kula Cakes - sejumlah belia berjaya berkumpul untuk menyertai acara yang menjadi suatu perkara yang amat jarang di Kuantan.

Pesta Ngulor bukanlah pesta bermalas-malasan atau pesta curi tulang. Jauh sekali - barangkali - daripada protes nyata terhadap sistem kapitalisme.

Pesta Ngulor kalau boleh disifatkan adalah sebuah temasya merangkul pendekatan seni, penulisan dan budaya. Maka secara tidak langsung, Pesta Ngulor adalah sebuah protes terhadap kesan-kesan lesu, lemau dan nyahkemanusiaan akibat perhambaan kapitalisme.

Pesta Ngulor adalah sebuah penciptaan semula bagi menemukan makna menjadi manusia kembali. Manusia yang perlukan hiburan selepas 40 jam bergelumang dalam sibuk bekerja.

Di Pesta Ngulor, hiburan menjadi wahana kesedaran alam kemanusiaan.

Misalkan saja, bacaan puisi daripada Jack Malik mengingatkan bahasa dan kata-kata adalah kandungan seluruh hidup manusia.

Atau Si Jasad Bersiung merembes tenaga lewat sajak energetiknya.

Sefa dengan ingatan tentang kematian yang karib kepada manusia.

Atau M Ashikin, bahawa pengalaman bercinta ialah sebuah lumrah yang berupaya mengajak kepada patriotisme.

Nyanyian dan lagu bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan. Sesetengah bermadah, hidup adalah lagu dan melodi.

Kumpulan muzik dan individu seperti P-RM, Cech Adrea, Ptk Daud, Naquib, Seruling Puaka menjalinkan not-not bunyian alat muzik menjadi sesuatu yang harmoni.

Kumpulan Anak Kayan menerusi lagu-lagu rakyat Pahang yang sekian lama menjadi teras perjuangan dan kepercayaan pula mudah menambat nubari.

Ia membawa kesedaran bahawa lagu rakyat adalah keharmonian sebagai manifestasi kebijaksanaan orang tua kita berhibur dahulu kala.

Lihat Komen