malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Vida didenda siar iklan tanpa kelulusan
Diterbitkan:  Aug 28, 2017 3:05 PM
Dikemaskini: 7:08 AM
ADS

Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Vida didenda RM4,800 atau penjara lima bulan oleh mahkamah majistret atas tuduhan menyiarkan iklan tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Mohd Azali Ibrahim selepas Vida atau nama penuhnya Datuk Seri Hasmiza Othman mengaku bersalah atas tuduhan terbabit.

Vida didakwa menyiarkan sebuah iklan berbentuk wawancara dalam rancangan Jom Singgah menerusi saluran TV3.

Iklan itu merujuk kepada khasiat Pamoga menerusi satu artikel yang direncanakan untuk mempengaruhi penggunaan produk sebagai ubat atau penyembuh bagi maksud merawat kulit lecur, meredakan sakit sendi dan lutut.

Selain itu, yang dinyatakan di dalam Jadual Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat.

Memetik laporan Utusan Online, Vida didakwa melakukan kesalahan terbabit di Sri Pentas, Persiaran Bandar Utama, antara jam 1 petang dan 1.30 petang pada 18 Julai tahun lalu.

Hasmiza selaku Orang Kena Saman(OKS) didakwa di bawah Seksyen 4B Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Dia yang kini terkenal dengan lagu “I Am Me” dibebaskan setelah membayar denda berkenaan.

 

Lihat Komen