malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Jurey cabar pengkritik saksi sendiri Malay Regiment
ADS

Datuk Jurey Latiff Rosli mencabar pengkritik filem Malay Regiment supaya datang beramai-ramai menonton filem itu yang dianggapnya sesuai dijadikan rujukan untuk mengetahui sejarah komunis.

Bagi pengarah dan penerbit itu, kecaman "tidak berasas" dibuat pihak tertentu terhadap naskhah terbarunya itu hanya mencerminkan pandangan mereka yang tidak memiliki semangat patriotik sejati.

Malay Regiment boleh menjadi rujukan pelajar atau anggota tentera baru yang ingin merasai pengalaman hidup di zaman komunis.

"Ia juga menambah koleksi filem patriotik sedia ada," katanya semasa ditemui pada majlis pratonton filem berkenaan di Mutiara Damansara, Selangor malam tadi.

Sempena tayangan itu juga Jurey tampil dengan keunikan tersendiri apabila mengenakan sepersalinan baju seperti pahlawan Melayu, lengkap dengan tengkolok.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Filem yang bakal menemui penonton pada 31 Ogos ini memang dihasilkan bersempena hari kemerdekaan ke-60 negara.

Menurut Jurey Malay Regiment digarap bagi membangkitkan kesedaran kepada rakyat Malaysia terhadap jasa perajurit mempertahankan tanah air daripada ancaman komunis.

Pada 7 Ogos lalu, filem berkenaan mengundang kontroversi selepas ada babaknya memaparkan sebuah kereta dengan nombor pendaftaran DAP164.

Bagi sesetengah orang ia seakan-akan menyindir salah satu parti pembangkang utama di negara ini, DAP. Aksara dan nombor itu menjadi antara ejekan kebanyakan tentera siber penyokong kerajaan.

Justeru, Salleh mencadangkan babak yang dikesan menerusi iklan acah dimuat naik di YouTube itu dibuang sebelum ia ditayangkan kepada umum.

Kata Jurey kepada ahli politik yang dianggapnya "hanya pandai mengkritik", dia membangkitkan persoalan - adakah mereka memang mempunyai jiwa dan bersikap patriotik?

“Datang, tonton keseluruhan cerita ini dulu, barulah beri komen. Ini tidak, baru tengok iklan saja sudah pandai membuat andaian,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai kehadiran Salleh di majlis pratonton itu, Jurey berkata, ia adalah petanda sokongan menteri dari Sabah itu kepada filemnya.

“Kedatangan beliau dianggap memberi suntikan semangat buat penggiat seni seperti saya. Malah beliau sempat mengucapkan tahniah kepada saya,” katanya.

Lihat Komen