malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Rosyam rasa puas betul di puncak lepas semput
ADS

Meski pun semput di pertengahan perjalanan Datuk Rosyam Nor bersyukur misinya mendaki hampir 2,200 anak tangga Menara Kuala Lumpur demi Climb For #QuranHour terlaksana hari ini.

Malahan, menurut pelakon terkenal itu, dia juga puas kerana menamatkan pendakian berkenaan walaupun secara perbandingan usianya lebih tua berbanding pendaki lain.

Misi mendaki ke puncak itu terlaksana kira-kira satu setengah jam.

“Saya bukanlah ahli sukan, tetapi alhamdulillah, berjaya mendaki sebanyak 2,178 anak tangga di Menara Kuala Lumpur walaupun tidak membuat sebarang persediaan.

“Ini adalah pengalaman pertama," katanya.

Menceritakan pengalamannya mendaki menara berkenaan, Rosyam berkata dia berasa seperti kekurangan oksigen apabila tiba di pertengahan laluan.

Katanya, ia mungkin disebabkan laluan yang sempit dan ada ramai orang lain turut mendaki bersama.

Namun dia berkata, misi berkenaan mesti ditamatkan juga.

“Pada awal memang dah sematkan dalam fikiran - misi ini akan diteruskan walau apa pun yang terjadi.

"Jadi dorongan psikologi itu benar-benar membantu saya,” katanya kepada Malaysiakini.

Tak serik pun

Rosyam atau nama asalnya Mohamed Noor Shamsuddin turut mendaki bersama 19 wakil media tempatan.

Ini adalah misi kedua aktor terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 itu demi menggalakkan umat Islam membaca dan menghayati al-Quran.

Sebagai simbolik kepada acara itu, Rosyam bersama pendaki lain naik ke Sky Deck iaitu pelantar terbuka menara berkenaan sambil membawa senaskhah al-Quran, Jalur Gemilang dan panji World #QuranHour.

Pada September tahun lalu, Rosyam melengkapkan misi berjalan sejauh 47.2 kilometer bagi mempromosi program World #QuranHour.

Berkongsi pengalamannya, aktor filem Castello itu berkata, dia berbangga dapat menyertai misi berkenaan.

“Kami memulakan pendakian dengan berselawat, kemudian apabila tiba di puncak kami selawat lagi dan disambut dengan laungan azan oleh Ustaz Tarmizi," katanya.

Bangga dengan pembabitan itu Rosyam berkata, jika ada peluang seumpama itu lagi dia akan menyertainya kerana ia turut baik untuk kesihatan.

Lebih daripada itu, kata Rosyam, dia benar-benar puas apabila misi berkenaan berjaya ditamatkan.

“Kesusahan menaiki anak tangga hilang apabila kami tiba di puncak bersama senaskhah al-Quran, Jalur Gemilang dan panji World #Quran Hour,” katanya.

Lihat Komen