malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
AF Jets doakan Search selamat, maju jaya
ADS

Wang bukan segala-galanya, malah bukan yang paling utama, kata syarikat AF Jets Sdn Bhd (AF Jets) yang sebelum ini sepatutnya menaja konsert Search tetapi sebaliknya menyaman kumpulan rock terkenal itu.

Lebih daripada wang, kata ketua pegawai eksekutifnya Amrul Nizar Anuar.

Kata Amrul Nizar AF Jets mengambil tindakan undang-undang kepada anggota kumpulan Search semata-mata didorong rasa kecewa dan terkilan dengan sikap kumpulan terbabit.

Justeru, walaupun mahkamah sudah memutuskan tiga daripada anggota kumpulan itu perlu membayar hampir setengah juta kepada syarikatnya, Amrul Nizar berkata, dia tetap berdoa agar Search kekal berjaya.

“Kami mendoakan kejayaan Search, tidak kira walau apa dilakukan, termasuk penjualan album terbaru," katanya kepada Malaysiakini.

Sebenarnya kata Amrul Nizar, jumlah tuntutan saman sepatutnya lebih tinggi daripada apa yang dituntut namun AF Jets masih mempunyai pertimbangan serta berhati perut.

“Kami menganggap duit adalah perkara kedua. Apa yang menjadi pertikaian utama ialah tindakan Search bercakap perkara bukan-bukan terhadap kami,” katanya.

Pada 18 Ogos lalu Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan tiga anggota Search, membayar pampasan kepada AF Jets selepas gagal mengemukakan pembelaan terhadap saman syarikat itu.

Noordin Mohd Taib, 55, pemain gitar utama Hamzah Mohd Taib atau Kid, 50 dan pemain bass Nasir Daud, 58, dikehendaki membayar ganti rugi khas bernilai RMRM494,079.71.

Tindakan penghakiman masih lagi diteruskan bagi seorang lagi anggota, vokalis Amy atau Suhaimi Abd Rahman, 59.

Amrul beranggapan AF Jets tidak perlu dipersalahkan dalam menangani kemelut berhubung Konsert 35 Tahun yang sepatutnya diadakan di Sepang pada 30 Ogos tahun lalu.

Katanya, pihaknya hanya cuba memberikan apa yang terbaik buat Yazid yang mempunyai masalah kesihatan.

“Niat kami adalah demi membantu Yazid, itu saja,” katanya merujuk kepada pemain dram kumpulan berkenaan yang kini mengalami masalah kesihatan.

Lihat Komen