malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Mencari Melati di Pasar Buku Kota Bharu
ADS

Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Acara perbukuan di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak turun-temurun turut menghias lanskap dan perkembangan industri buku negara khususnya.

Rentetan kelahiran nama-nama besar di kalangan penulis, karyawan, sasterawan dalam pelbagai cabang ilmu dan genre - Kelantan memberi sumbangan tersendiri dalam menambah hias rupa wajah kesenian dan kebudayaan tempatan.

Atas kesedaran itu, baru-baru ini Kelantan disapa satu acara buku kolektif yang diberi nama Pasar Buku Kota Bharu (PBKB). Acara yang julung kali itu diadakan di Pasar Seni Kota Bharu iaitu di aras 3 Bazar Tok Guru.

Program yang berlangsung pada 29 Julai lalu itu dijayakan oleh sekumpulan anak muda yang cintakan kelangsungan industri buku tanah air.

Penulis turut terlibat dalam menjayakan acara ini melalui KITARTB (Toko Buku dan Seni Alternatif Kota Bharu). Selain mendapat kerjasama dari pihak pengurusan Bazar Tok Guru dan rakan-rakan seangkatan.

Menerusi empat elemen penting iaitu jual, beli, tukar dan pamer, PBKB dilihat menerapkan konsep yang hampir sama dengan pasar buku di tempat lain. Kebanyakkannya menampilkan buku-buku lama dan terpakai sebagai bahan jualan utama dengan harga berpatutan.

Ia susulan juga dibuat atas kesedaran untuk memberi peluang kepada generasi muda hari ini mendapatkan naskhah langka tulisan penulis-penulis silam yang semakin sukar diperolehi.

Antara pihak yang terlibat sebagai penjual pada PBKB edisi pertama itu seperti, Kedai Hitam Putih, Tuju Buku, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan, DBP Wilayah Timur, CT Puspa, Deewaqaf, KITARTB dan beberapa peserta persendirian.

Di meja pameran pula, saudara Ronnie dan rakan dari Buku Jalanan Machang dan Gua Musang mengambil tempat dengan mempamerkan koleksi buku-buku nadir.

Menariknya juga acara ini ia mampu menyatukan golongan penggemar buku antara orang lama atau baru dalam usaha memberi nafas terhadap kelangsungan acara seni dengan hidangan tersendiri.

Orang lama yang berada dalam kepompong tersendiri sebelum ini berpeluang mendekati anak muda, saling bertukar idea seputar dunia sastera dan penulisan tempatan.

PBKB juga cuba menampilkan satu ruang untuk mengajak masyarakat Kelantan berkawan dengan buku, membaca dan membentuk suatu sisi masyarakat yang terdidik.

Suatu ketika dahulu Kelantan merupakan antara negeri yang bersungguh-sungguh mengangkat seni penulisan sebagai mercu tanda dan ia menjadi tarikan ramai pelancong.

Usaha yang pernah dipacu Abdul Kadir Adabi ini seakan sepi beberapa dekad lalu. Penulis suka untuk memetik sajak karya Awang Abdullah bertajuk Kota Bharu.

“hari ini
orang sedang membaiki kembali
serambi
dan atap
di rumah tuanya
yang bocor”

Secara peribadi, saya tidak sanggup melupakan usaha yang dilakukan mereka yang terdahulu. Kota Bharu sebagai ibu negeri telah ditinggalkan dengan dua buah karya hebat yang merakam pada dua zaman berbeza iaitu Melati Kota Bharu, karya Abdul Kadir Adabi dan Orang Kota Bharu karya Sasterawan Negara, S Othman Kelantan.

Jadi, tidak ada cara lain untuk mengembalikan semangat itu dengan beramai-ramai meraikan acara PBKB ini. Saya juga merasakan 'roh Melati' telah turut bersama sepanjang acara itu berlangsung.

Dengan kelangsungan edisi pertama, kami meneruskan lagi PBKB edisi yang bakal berlangsung pada 26 Ogos nanti di tempat yang sama bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

Justeru, penulis dan seluruh warga penggerak PBKB mengajak rakan-rakan sekitar Kota Bharu dan seluruh negeri Kelantan khususnya untuk turut bersama kami. Ayuh kita hidupkan semula semangat membaca dan cintakan buku di negeri ini.

 


EZZMER DARUH adalah aktivis persendirian yang menggerakkan acara seni, buku dan kebudayaan melalui KITARTB berpusat di Kota Bharu.

Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen