malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Kaitkan Syafiq dengan Saleem: Sudah cukup, cukup sudah...
Diterbitkan:  Aug 16, 2017 11:00 PM
Dikemaskini: 3:07 PM
ADS

'Diserang' di pejabatnya hari ini syarikat rakaman yang menerbitkan lagu Syafiq Farhain berjanji tidak lagi mengaitkan nama penyanyi baru itu dengan Saleem.

Pengarah Urusan Music Valey Malaysia (MVM) Rumhadi Rumnan berkata dia berjanji tidak akan lagi menyentuh nama Saleem semasa mempromosi Syafiq.

"Dan saya juga ingin memohon maaf atas tersiarnya satu tajuk artikel temubual sebuah portal online yang melukakan hati abang Saleem.

"Dan saya berjanji bermula hari ini kami tidak lagi menyentuh nama abang Saleem bagi tujuan promosi Syafiq," katanya seperti dilapor portal mStar hari ini.

Terdahulu, Saleem dan isteri merangkap pengurusnya Julia Bachok berkunjung ke pejabat MVM di Cheras petang tadi.

Rakaman insiden itu yang dimuat naik di YouTube menunjukkan Julia berang dengan tindakan syarikat terbabit mengaitkan nama Saleem dengan Syafiq.

Ini anak Bugis, tau!

Julia juga kelihatan marah dengan pengguna Internet dan laman sosial yang didakwanya menghina Saleem.

"Hina aku tak apa (tapi) jangan hina Saleem. Saleem tak sejahat tu. Saya pengurus dia, saya berhak bersuara melindungi artis saya.

"Orang yang kat luar tu, jangan dengar sebelah pihak, kau faham ke tak?

"Jangan hina (kisah lama) Saleem. Ini Julia, tau! Anak Johor, anak Bugis. (Kalau) berani datang sini, jangan berani (di media sosial) saja," katanya.

Isu antara Saleem dengan Syafiq muncul apabila nama vokalis kumpulan Iklim itu dikaitkan sebagai bapanya.

Suara Syafiq pula kedengaran mempunyai iras-iras Saleem.

Syafiq yang kini bertugas sebagai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat baru menghasilkan single Sayang Maafkan Aku di bawah label MVM.

Semasa menyatakan kemarahannya Julia juga mempersoalkan kenyataan pihak tertentu yang mengesahkan Syafiq adalah anak Saleem.

"Jangan sebut bab anak. Tak ada siapa lagi cakap bab anak. Dia yang sibuk kot!

"Kalau dia betul anak, dia kena respect bapak dia, mintak izin dulu dengan bapak dia. tak pernah lagi Saleem (Syafiq) itu siapa," katanya.

Menurut laporan mStar, ketika ditanya sama ada Saleem mempunyai masalah peribadi lain bersama Syafiq, penyanyi Tinggal Kenangan itu berkata semuanya akan jadi lebih mudah jika ada perbincangan di antara kedua-dua pihak.

"Sebenarnya isunya itu sahaja, dia dan syarikat rakamannya terus menggunakan nama saya untuk tujuan promosi lagu terbarunya.

"Selebihnya tak ada masalah dan dia boleh terus berkarya menggunakan bakat dia sendiri," kata Saleem.

Lihat Komen