malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Apa khabar Butterworth Fringe Festival 2017?
ADS

ULASAN | Butterworth Fringe Festival (BFF) 2017 merupakan program tahunan di Seberang Perai sejak tiga tahun lalu.

Ia adalah anjuran kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran Seberang Perai, Georgetown Festival, Think City dan beberapa syarikat lain.

Hasrat penganjur seboleh-bolehnya mahu menghidupkan kembali Pekan Lama Butterworth, dan pada masa sama menarik pelancong tempatan ataupun luar negara.

Program serupa juga ada dianjurkan di beberapa tempat lain di dunia termasuk di Adelaide, Australia; Ediburgh, Scotland; dan Minnesota di AS.

Anjuran pesta sebegini cukup baik kerana ia berhasrat mengangkat penggerak seni dan budaya supaya mempunyai pentas atau tempat bagi berapresiasi.

Hal ini sebenarnya dapat membentuk dan menjadikan Seberang Perai sebuah tempat yang kaya dengan seni dan budaya.

Antara faktor yang dapat menyumbang kepada imej baik sesebuah bandar adalah seni dan budaya.

Cuba lihat bagaimana Jogjakarta atau Bali di Indonesia yang cukup kaya dengan adat resam Jawa - Nusantara. Mereka menggunakan sepenuhnya sumber kebudayaan yang ada dan menjadikan ia sumber pendapatan penduduk tempatan melalui kedatangan pelancong dari seluruh pelusuk dunia.

Selepas tiga kali penganjuran BFF nampaknya pesta itu masih belum dapat mengenal pasti ke mana arah ia hendak dibawa.

Terdapat usaha mengembangkannya kepada penggiat kesenian dan kebudayaan tempatan namun usahanya masih minimum. Walhal Seberang Perai sendiri cukup kaya dengan adat, budaya dan sejarah.

Saya menghabiskan masa yang agak lama di pentas utama.

Siapa ikuti dunia akrobatik

Sepanjang pemerhatian saya pengacara majlis menghabiskan hampir 80 peratus mengendalikan majlis dengan berbahasa Inggeris.

Saya tidak ada masalah dengan bahasa Inggeris, namun melihatkan penonton yang hadir, berapa ramai yang biasa dengan bahasa itu.

Sekurang-kurangnya kendalikanlah ia secara dwibahasa.

Apa guna kita memanggilnya Butterworth Fringe Festival tetapi masih mengguna pakai Charlie Chaplin untuk mengiburkan penonton?

Padahal budaya Malaysia sendiri mempunyai watak mirip Charlie Chaplin untuk menghiburkan penonton dan menggunakan kaedah hampir sama.

Saya juga termanggu apabila kita menjemput sebuah kumpulan akrobatik dari Australia untuk membuat persembahan.

Saya faham tentang jenama kumpulan berkenaan dan betapa terkenalnya mereka, namun hakikatnya berapa ramai rakyat Seberang Perai atau Malaysia mengikuti persembahan akrobatik dengan lebih dekat?

Saya percaya Malaysia juga punya kumpulan akrobatik sedemikian.

Ini merupakan pendapat peribadi saya, dan saya pulangkan kembali kepada pengikut setia BFF yang lain.

Semoga ada pembaharuan yang lebih menarik untuk edisi seterusnya.

Program sebegini harus diteruskan dan arah yang betul perlu dicari supaya menepati konteks masyarakat Seberang Perai, Pulau Pinang dan Malaysia.


MOHD HAFIZAN MAZUKI seorang sarjana sains perumahan yang bergerak aktif di dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan berkaitan belia di sekitar Pulau Pinang. Dia mempunyai minat yang sangat mendalam tentang sosial, seni dan budaya.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen