malaysiakini logo
story-image
ADS

Penggiat seni diseru tidak mengamalkan rasuah atau bersekongkol dengan individu tertentu di stesen televisyen jika mahu industri itu bertapak lebih lama.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Samad Kasah berkata demikian ketika ditemui pada sesi dialog bersama Persatuan Penerbit Televisyen (PTVM) di Perbadanan Kemajuan Perfileman Nasional Malaysia (Finas), Kuala Lumpur hari ini.

“Apabila mengenali pemberi rasuah dan ingin laporkan sebarang kesalahan, hal itu akan menjadi susah kerana yang hendak dilaporkan adalah kawan-kawan.

"Situasi itu berlaku apabila wujud salah laku antara yang ditugaskan menjaga amanah dan mereka yang melakukan rasuah," katanya.

Beliau mengulas isu ‘duit tepi’ yang dibangkitkan PTVM baru-baru ini.

Amalan negatif itu didakwa diamalkan pegawai kanan di sesetengah syarikat TV sebelum membenarkan sesuatu slot ditayangkan kepada umum.
Ia dibangkitkan setelah menutup peluang sama rata selain menidakkan sesuatu karya yang bermutu.

Sesi dialog itu diadakan sempena Mesyuarat Agung Tahunan PTVM ke-10 bagi sesi 2017 - 2018.

Sementara itu, Samad juga berharap penggiat seni dapat membantu menyalurkan maklumat kepada SPRM bagi membongkar jenayah terbabit.

“Jangan takut untuk melaporkan dan beranggapan akan hilang pekerjaan di masa depan. Kita ada Akta Perlindungan Saksi 2010 dan Akta Pemberi Maklumat 2010 untuk menggalakkan pendedahan jenayah rasuah atau salah laku lain.

"Kita perlu katakan cukup kepada rasuah.

"Jangan kawtim dan jangan hulur. Kita rakyat Malaysia patut bersatu hati dan hentikan rasuah," katanya.

Lihat Komen