malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Kandang sarat dengan satira politik
ADS

ULASAN Perkara pertama lahir di benar fikiran sebaik menonton pementasan teater Kandang adalah karya itu memiliki nilai didik begitu kuat.

Kandang, merupakan naskhah terbaru Omar Ali, diadaptasi daripada novel Animal Farm karya George Orwell pada tahun 1945.

Menerusi karya ini, terlalu banyak sisi baik dan buruk kehidupan boleh diserap oleh penonton biarpun sedikit-sebanyak naskhah itu seolah-olah mencerminkan situasi politik dalam negara.

Adakah pementasan itu digarap agar mempunyai persamaan dengan keadaan di sekeliling kita? Jika benar siapakah yang dimaksudkan Omar Ali dalam naskhahnya itu?

Sebenarnya, menurut Omar, Kandang dihasilkan bukan untuk ‘menyerang’ mana-mana parti mahupun ahli politik di dalam negara.

“Kami bukan mahu bermain politik atau membenci mana-mana parti tetapi mahu mengetengahkan sikap yang perlu ada dalam budaya kepimpinan.

“Kita bercakap soal kuasa, amanah dan tanggungjawab yang perlu ada pada seorang pemimpin yang jika tidak dilaksanakan boleh membawa kemudaratan.

“Kami anggap jalan cerita novel itu memiliki mesej simbolik dan masih relevan pada masa ini. Apa yang berlaku dalam negara adalah cuma satu kebetulan,” katanya kepada Malaysiakini.

Kritik melalui seni

Anak kepada Tan Sri Muhammad Ali Hashim itu berkata, pementasan teater merupakan platform sesuai untuk mengetengahkan sesuatu komentar mengenai isu semasa.

Konsep yang ingin diketengahkan dalam Kandang adalah bagaimana ahli politik boleh dikritik menerusi pentas seni, tanpa menimbulkan sebarang konflik.

“Ayah sering mengingatkan, bergaduh atau berbalah merugikan kerana tidak membawa sebarang hasil. Kita perlu berbahas mengenai sikap buruk seseorang pemimpin dan kekal dalam perbincangan, kalau asyik hentam nanti apa yang tinggal,” katanya.

Omar mempertaruhkan naskhah terbaru itu selepas didorong sambutan baik yang diterima dalam Dato' Seri - dipentaskan tahun lalu.

Revolusi untuk kemerdekaan

Kandang mengisahkan sekumpulan haiwan di ladang ternakan Tuan Jones yang melakukan revolusi demi menuntut sebuah kemerdekaan.

Tiga watak utama iaitu tiga ekor babi, Tunggal (Ashraf Zain), Bintaga (Farah Rani) dan Gading (Joe Chin) mengetuai haiwan lain seperti kambing, ayam dan seladang untuk mengecapi kemakmuran.

Namun kuasa mengakibatkan Tunggal dan Gading menjadi tamak hingga sanggup menyalahguna kuasa untuk menyingkirkan Bintaga dengan kejam.

Haiwan yang tidak berpendidikan dan tiada inisiatif mengambil tahu hal di sekelling mereka dengan mudah dimanipulasi oleh Tunggal dan Gading.

Penguasaan dan penghayatan Tunggal, Bintaga dan Gading termasuk watak lain sewaktu menjiwai karakter masing-masing amat berkesan meskipun tanpa kostum haiwan sepenuhnya.

Biarpun menggunakan konsep minimalis untuk tata artistik, dekorasi panggung, busana dan tata rias mengikut peruntukan bajet yang kecil, Omar dilihat masih mampu menghidupkan suasana.

Penataan cahaya dan lampu yang berfungsi tanpa gagal selain muzik juga antara faktor penting menyumbang kejayaan Kandang yang berlangsung di Pentas Seni Kuala Lumpur atau KLPAC pada 10 Ogos hingga 13 Ogos lalu.

Pementasan 'Kandang' antara lain menampilkan pelakon, Clarence Kuna, Faez Malek, Nik Waheeda, Zul Zamir dan Nabil Zakaria.

Mereka dibantu Pengarah Pergerakan, Ho Lee Ching untuk mendalami karakter haiwan, manakala perekatari Yusman Mokhtar untuk membentuk reka pentas dan diiringi Pengarah Muzik, Coebar Abel.

Lihat Komen