malaysiakini logo
story-image
ADS

Layak digelar persembahan bertaraf antarabangsa, penonton pula mungkin rasa berbaloi mengeluarkan wang membeli tiket untuk menonton persembahan memukau Datuk Sheila Majid malam tadi.

Persembahan selama lebih dua jam di lokasi ikonik Stadium Negara itu tampil gah dengan keindahan lampu laser dan LED - yang jarang-jarang digunakan artis Malaysia - diterajui oleh pengarah konsert Jennifer Thompson.

Pengarah muzik tersohor, Mac Chew turut menyumbang kepada kejayaan konsert apabila menyerlahkan kehebatannya dengan mengemudi 100 pemuzik profesional dalam persembahan yang dihadiri kira-kira 4,000 penonton itu.

Situasi dihangatkan lagi apabila Sheila berjaya mencuri hati penonton menerusi kepetahannya berkata-kata - suatu kemahiran yang perlu diambil kira oleh setiap artis yang mengadakan sesebuah konsert.

Sheila juga masih hebat mengekalkan momentumnya sebagai ratu jazz apabila menonjolkan aksi menari sambil menyanyi walaupun ketika ini usianya mencecah 52 tahun.

“Akhirnya, terasa bagus benar dapat kembali semula ke sini. Saya amat hargai kehadiran anda di sini. Tiada peraturan dibuat, oleh itu saya cadangkan anda semua menari malam ini,” katanya.

Ini adalah kali keempat Sheila membuat konsert di Stadium Negara.

Terdahulu, isteri kepada Datuk Acis itu pernah menjayakan konsert Lagenda pada 1991, Ratu (1996) dan Ku Mohon (1999).

Sebelum ini, Sheila pernah berdepan kesulitan untuk mengadakan konsert sempena tiga dekad mewarnai industri seni apabila tiada penaja sudi memenuhi impiannya itu.

Kenang insan terpilih

Namun, akhirnya hasrat itu dimakbulkan dengan kehadiran IME Malaysia. Konsert istimewa itu diterbitkan oleh More Entertainment dan disokong syarikat artis Megada Entertainment.

Memang Sheila akui bukan mudah untuknya memilih lagu yang sesuai bagi malam bersejarah itu. Tetapi hasilnya, begitu memuaskan apabila sebanyak 40 buah lagu dinyanyikan dengan vokal yang mantap.

“Saya ada lapan album sepanjang tempoh 22 tahun berkecimpung sebagai artis. Saya menyerahkan senarai panjang lagu yang boleh mengisi konsert selama tiga hari kepada pengarah muzik.

"Selepas berbincang kami berhasil mencari jalan penyelesaian dan memilih lagu yang terbaik untuk dipersembahkan dalam konsert malam ini.

"Persembahan ini lebih untuk anda dan bukannya mengenai diri saya,” katanya.

Menerusi empat segmen, Sheila mendendangkan lagu seperti Dia, Hitam Putih Kehidupan, Ratu, Sinaran, Antara Anyer Dan Jakarta.

Pada masa sama Sheila tidak ketinggalan untuk berkongsi segmen tribute buat dua insan terpilih iaitu allahyarham Johan Nawawi menerusi Jentayu dan Tan Sri P Ramlee (Aduh Sayang, Bila Larut Malam dan Jelingan Manja).

Sepanjang konsert, Sheila bersilih-ganti menukar tiga busana rekaan dihasilkan pereka kegemarannya, Michael Ong.

Konsert Sheila itu turut dihadiri oleh beberapa rakan artis antaranya Afdlin Shauki, artis Indonesia Afgan, Rozita Che Wan dan Anuar Zain.

Lihat Komen