malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Rezeki 'kering' 6 bulan, Atikah balik kerja farmasi
ADS

Pelakon kelahiran Singapura, Atikah Suhaime, mengaku dia kini fobia selepas tidak mendapat sebarang tawaran dalam bidang lakonan sejak enam bulan lalu.

Dipaksa oleh keadaan itu, dia akhirnya terpaksa akur untuk berehat sebentar dari dunia lakonan, dan beralih bidang menjadi pegawai pemasaran.

Katanya, keadaan itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan membuat dia berasakan seolah-olah dunia hiburan sudah tidak menginginkannya lagi.

“Tidak pernah dalam hidup saya selama enam bulan tak ada tawaran kerja, itu buat saya jadi fobia.

“Saya kembali ke Singapura dan bekerja di bahagian pengiklanan sebuah syarikat farmasi,” katanya.

Atikah atau nama penuhnya Nur Atikah Mohd Suhaime, 26, ditemui pada malam tayangan filem Pencuri Hati Mr Cinderella di Kota Damansara, Petaling Jaya semalam.

Tak tahu kenapa

Atikah diberi kepercayaan menjadi watak utama dalam Pencuri Hati Mr Cinderella dan digandingkan dengan Ahmad Idham yang juga pengarah filem berkenaan.

Disebabkan rezeki berlakon berkurangan, Atikah turut mendedahkan segala wang simpanannya yang ditabung sepanjang tempoh bekerja turut habis digunakan untuk menampung perbelanjaan harian.

“Jujur saya katakan, duit simpanan saya sudah habis apabila tak ada kerja.

"Hal itu membuatkan saya nekad untuk pulang ke Singapura dan bekerja di sana,” katanya.

Atikah berkata demikian sebagai mengulas statusnya di media sosial baru-baru ini yang memberi gambaran akan berehat daripada dunia lakonan.

Tetapi kemudian status itu dipadamkan atas nasihat ibunya.

Menerusi kenyataannya itu, Atikah berkata, dia merindui detik-detik manis menjalani kehidupan bersama keluarga. Malah katanya, penting untuk 'mencari dirinya' semula kerana semangat yang hilang.

Tahun lalu, dunia hiburan kecoh apabila gambar wanita di ranjang mirip Atikah dan pelakon Idris Khan menjadi tular di media sosial.

Tetapi Atikah dengan tegas menafikan wanita dalam imej terbabit adalah dirinya seperti yang didakwa segelintir pihak.

Namun dalam pada itu, Atikah tidak menolak sekiranya dirinya dipandang sepi dari dunia hiburan ekoran dihimpit kontroversi berkenaan.

“Saya bukan cuba merendah-rendahkan keupayaan yang ada, tapi mungkin kontroversi itu ada kesan.

“Namun sebenarnya, saya juga tidak tahu kenapa sampai tiada satu pun tawaran diberikan,” katanya yang yakin akan kembali ke bidang lakonan selepas hatinya terubat.

Lihat Komen