malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ramai anak muda sertai Festival Teater N Sembilan
ADS

Penyertaan ramai golongan muda bertanding pada Festival Teater peringkat Negeri Sembilan 2017 membuktikan bahawa seni teater tidak pernah hilang generasi pelapis.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS) Mohd Radzi Omar berkata kebanyakan peserta berkenaan mempunyai bakat luar biasa dalam seni lakonan, pengarahan dan penulisan skrip.

"Boleh dikatakan kumpulan yang bertanding adalah kumpulan teater baharu yang terdiri daripada pasukan produksi daripada anak-anak muda belaka. Walaupun baharu dan muda, mereka ini mempunyai bakat luar biasa.

"Harapan saya dan jabatan ialah melalui festival ini adalah untuk melahirkan kumpulan teater yang bermutu, mewujudkan khalayak baharu serta mewujudkan bank skrip teater," katanya pada majlis penutup Festival Teater peringkat Negeri Sembilan 2017 di Auditorium Raja Melewar, Kompleks JKKNNS di Seremban, malam tadi.

Turut hadir Pengarah JKKN Melaka Zulkarnain Ramli dan Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Ismail Ahmed.

Katanya penyertaan ramai anak muda dalam kumpulan teater ini adalah satu perkembangan positif dalam matlamat menyemarak, memasyarakat dan membangunkan teater.

Sementara itu, kumpulan teater Politeknik Nilai dengan karya 'Dilarang Menyanyi Di Bilik Mandi' dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, serta sijil penghargaan.

Tempat kedua dimenangi kumpulan teater dari USIM dengan karya ‘Antigone’ yang menerima wang tunai RM700 dan sijil penghargaan manakala tempat ketiga dimenangi kumpulan teater Persatuan Karyawan Negeri Sembilan dengan karya 'Aku Dihukum Kerana Cinta' dengan mendapat wang tunai RM500 serta sijil penghargaan.

Lapan kumpulan teater bersaing pada festival anjuran JKKNNS dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Majlis Kebudayaan Negeri yang bermula Isnin lepas.

-Bernama

Lihat Komen