malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Projector Band rancang single keempat
Diterbitkan:  Jul 26, 2017 12:20 PM
Dikemaskini: 4:27 AM
ADS

Single sulung Projector Band, Sudah Ku Tahu menerima sambutan luar biasa meskipun kumpulan itu baharu sahaja menceburi bidang muzik. Populariti lagu itu melonjakkan nama Projector Band dan rezeki menyebelahi mereka apabila menang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu 31, tahun lalu.

Projector Band dianggotai empat anak muda, Razif Zainuddin (gitar), Iskandar Zulkarnain Shafin (penyanyi), Muhammad Safiq Zainuddin (dram), Isnaidi Eidham Razali (gitar) dan Ahmad Khusairi Shaferi (bass).

Selepas kejayaan Sudah Ku Tahu, mereka memperkenalkan dua lagi single baru berjudul Pasti Ada Kamu dan Aisyah yang turut menjadi siulan ramai.

Razif mewakili Projector Band berkata, mereka tidak pernah menjangka Sudah Ku Tahu mampu memberi impak besar terhadap pendengar, begitu juga dengan single Aisyah.

“Dari segi jumlah tontonan di YouTube, lagu Aisyah berjaya memperoleh lebih 11 juta tontonan dalam tempoh dua bulan.

“Walaupun Sudah Ku Tahu sangat popular, jumlah tontonan video muzik di YouTube mengambil masa agak lama untuk mencapai 22 juta tontonan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Walaupun kini fokus mempromosikan lagu Aisyah, Razif berkata, Projector Band sudah merancang mengeluarkan single keempat berjudul Sudah Ku Tahu 2 awal tahun depan.

Katanya, meskipun melodinya hampir sama dengan single pertama, Razif memberi jaminan peminat tidak akan keliru kerana lirik yang berbeza.

“Kami berharap single itu dapat memperoleh sambutan hangat seperti Sudah Ku Tahu,” katanya yang berkata rakaman single itu telah selesai dan sedang menunggu pelancaran.

Katanya, terdapat juga perancangan untuk mengeluarkan album mini yang akan menghimpunkan single sedia ada dan beberapa karya baru.

“Sekiranya ada permintaan daripada peminat untuk lagu baru, barulah kami buat. Saya percaya, peminat akan terus mendengar lagu kami sekiranya karya itu berkualiti,” katanya.

Biarpun dengan pencapaian sekarang, pemain gitar itu mengakui masih sukar membayangkan masa depan Projector Band, namun berharap nama kumpulan itu boleh menjadi legenda.

“Tidak dinafikan sekarang susah untuk kekal lama dalam industri muzik seperti band legenda tempatan yang lain. Diharapkan pendengar sekarang akan terus mendengar lagu Projector Band supaya nama kumpulan ini terus diingati generasi akan datang,” katanya.

Lihat Komen