malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
7 artis wanita Indonesia jalani pemulihan
Diterbitkan:  Jul 21, 2017 6:14 PM
Dikemaskini: 10:27 AM
ADS

Tujuh artis wanita Indonesia yang ditangkap bersama pelakon dan penyanyi Pretty Asmara ketika sedang khayal dalam satu pesta dadah baru-baru ini akan dihantar ke pusat pemulihan.

Berdasarkan ujian air kencing yang dijalankan, kesemua mereka didapati positif dadah.

Tempo memetik kenyataan daripada pegawai polis daerah Metro Jaya, Radem Prabowo Argo Yuwono yang berkata mereka akan dirujuk ke pusat pemulihan agensi dadah Jakarta Selatan dan akan menjalani lapan kali sesi rawatan.

Berdasarkan maklumat, tujuh artis yang ditangkap itu ialah pelakon Susi Susanti @ Sisi Salsabila, tiga penyanyi dangdut, Emilia Yusuf, Erlin Susanti dan Melly Antianingsih, pelakon sinetron Asri Handayani, model Gladyssta Lestari dan penyanyi pop, Daniar Widiana.

Selain didapati menggunakan dadah, tujuh artis wanita tersebut juga dipercayai mengambil minuman keras.

Hingga kini, pihak berkuasa menetapkan dua suspek iaitu Pretty dan rakannya, Dani sebagai individu yang membekalkan dadah kepada artis berkenaan.

Kedua-duanya ditahan bersama di sebuah hotel di Kemayoran pada Ahad lalu dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman lima hingga 20 tahun penjara.

Bagaimanapun, Pretty mengaku diperangkap dengan menyebut nama individu bernama Alvin sebagai dalang di sebalik pengedaran dadah berkenaan. Polis masih menyiasat dakwaan itu.

Lihat Komen