malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
PAS: Despacito 'jarum' cucuk tubuh anak muda
Diterbitkan:  Jul 21, 2017 2:12 PM
Dikemaskini: 6:24 AM
ADS

Awas - mungkin ada lagi lagu-lagu tidak sihat terlepas atau menunggu masa untuk masuk ke negara ini sebagai jarum halus untuk mencucuk anak muda tempatan, kata seorang pemimpin PAS.

Menurut Dr Riduan Mohd Nor, lagu Despacito mungkin satu daripada sekian banyak lagu memuatkan unsur tidak sihat untuk minda belia yang dibawa masuk ke negara ini.

"Mungkin ada lagu lain - disedari atau tidak, sudah atau belum masuk ke negara ini - yang membawa pelbagai mesej lucah, melampau, seksi dan lain-lain yang keterlaluan," katanya.

Sebagai umat Islam, kata anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu, masyarakat memang menyedari "jarum halus" itu mudah mencucuk "tubuh anak-anak muda" agar ghairah dengan keseronokan, kekebasan, pergaulan tanpa batasan dan cinta yang mengasyikkan.

Jika dibiarkan, katanya, keadaan mungkin menjadi lebih rumit untuk ditangani.

Riduan mengulas penarikan balik siaran lagu Despacito nyanyian Luis Fonsi dan Dady Yankee serta penampilan istimewa Justin Bieber oleh RTM pada 19 Julai lalu.

Perkara itu diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak selepas ia dinilai semula oleh RTM.

Sekat semua elemen luar

Beberapa jam sebelum itu Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH) mengeluarkan kenyataan meminta lagu yang memang popular itu diharamkan.

Alasan mereka, lagu ciptaan Andres Torres dan Mauricio Rengifo itu menggunakan lirik lucah dan membawa tema hubungan seksual.

Sambil mengucapkan tahniah kepada pihak yang membangkitkan isu berkenaan, Riduan berkata tindakan pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia adalah demi kemaslahatan awam di negara ini.

"Satu perkara yang baik ialah, sikap netizen yang amat prihatin dan peka dengan perkembangan semasa khususnya melibatkan anak-anak muda.

"Golongan yang membantah ini berasa terpanggil untuk mengekang keruntuhan akhlak generasi muda," katanya.

Menurut Riduan (gambar, tengah), klip video Despacito itu sudah ditonton lebih dua bilion kali di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

"Alangkah baiknya jika sesuatu perkara yang baik dan membangun minda masyarakat khususnya golongan belia pula mendapat tarikan dan ikutan pula sehingga menjadi fenomena luar biasa," katanya.

Riduan juga meminta kerajaan memantau siaran perkembangan hiburan di negara ini dan tidak menunggu aduan sebelum bertindak.

"Apa juga elemen yang cuba dibawa masuk ke negara ini atau cuba dicetuskan oleh rakyat di negara ini mesti ditegah serta-merta," katanya.

Lihat Komen