malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Bennington mati pada hari jadi Chris Cornell
Diterbitkan:  Jul 21, 2017 12:13 PM
Dikemaskini: 7:00 AM
ADS

Selepas rakan karibnya Chris Cornell meninggal dunia dua bulan lalu, penyanyi Linkin Park, Chester Bennington menulis sepucuk surat mengucapkan terima kasih kepadanya kerana memberikan inspirasi dan berharap Chris akan mendapat keamanan dalam "kehidupan seterusnya."

"Bakat kau tulen dan tiada tandingan.

"Suara kau adalah kegembiraan dan kesakitan, kemarahan dan pengampunan, kasih sayang dan kesakitan yang dibungkus menjadi satu, aku rasa itulah kita semua," tulis Bennington.

Bennington meninggal dunia pada Khamis selepas ditemui menggantungkan diri di rumahnya, tepat pada tarikh ulang tahun kelahiran Cornell.

Dia dikatakan rakan karib vokalis kumpulan Soundgarden itu yang juga mati dipercayai membunuh diri Mei lalu.

Seperti Cornell, Bennington juga bergelumang dengan masalah dadah dan alkohol, selain pernah bercakap tentang keinginan membunuh diri akibat didera sewaktu kanak-kanak.

Menurut laporan antarabangsa, Bennington, 41 ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di rumahnya di Palos Verdes berhampiran Los Angeles.

Laman web hiburan, TMZ memetik sumber polis berkata, Bennington menggantung diri ketika bersendirian di rumah dan keluarganya berada di luar bandar.

Jurucakap Jabatan Koroner Los Angeles, Brian Elias mengesahkan kematian itu disiasat sebagai kes bunuh diri.

Bennington pernah berkahwin dan mempunyai 6 orang anak hasil dua perkahwinan.

Kematian Bennington turut mengejutkan penyanyi Linkin Park, Mike Shinoda.

“Terkejut dan patah hati tetapi ia benar. Kenyataan rasmi akan dikeluarkan kelak,” katanya menerusi Twitter.

Terkenal dengan lagu-lagu seperti ‘In the End,’ ‘One Step Closer’ dan ‘Crawling’, Linkin Park pernah bekerjasama dengan Jay-Z untuk album ‘Collision Course’ pada 2004.

Kumpulan itu sudah menjual lebih 70 juta album di seluruh dunia sehingga kini.

Kematian Benington berlaku seminggu sebelum kumpulan itu bakal memulakan jelajah Amerika Syarikat di Mansfield, Massachusetts pada 27 Julai serta pada hari video muzik Linkin Park ‘Talking to Myself’ dilancarkan.

 

 

Lihat Komen