malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
'Kami bukan polis moral'
Diterbitkan:  Jul 20, 2017 2:36 PM
Dikemaskini: 6:50 AM
ADS

Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) memuji langkah Kementerian Komunikasi dan Multimedia menghentikan serta merta penyiaran lagu berunsur lucah, Despacito.

"Kami mewakili golongan wanita dan ibu, sudah tentu menerima berita ini dengan rasa gembira dan syukur.

"Dalam pada itu, pujian juga harus diberikan kepada pelbagai peringkat masyarakat yang cakna dengan fenomena tidak sihat ini sehingga bertindak membuat aduan awam," kata Biro Komunikasi Awan dalam kenyataan media hari ini.

Menurut AWAN, masyarakat dalam negara ini bukan anti-hiburan tetapi tidak mahu unsur-unsur tidak sihat dibiarkan menular dan menjadi kebiasaan serta gaya hidup generasi muda hari ini.

"Tuduhan bahawa langkah pencegahan ini sebagai cubaan menjadi "moral police" juga tidak tepat apatah lagi kami dan para pengadu memilih penyelesaian yang lebih harmoni dan rahmah tanpa sebarang kekerasan atau keganasan.

"Kami lebih cenderung menyatakan kekesalan kerana lagu ini menjadi siulan anak-anak muda tanpa mengerti maksud lirik itu yang sebenar," katanya.

Sehubungan itu, AWAN mencadangkan supaya kementerian menyediakan platform bagi memudahkan masyarakat memberikan aduan segera jika terdapat karya-karya kreatif seperti lagu, lirik serta filem yang bertentangan dengan garis panduan ditetapkan.

Semalam, Radio Televisyen Malaysia (RTM) memberhentikan serta-merta siaran lagu hit antarabangsa itu di semua stesen radio dan saluran televisyen miliknya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata lagu itu dinilai semula oleh panel penilai RTM susulan aduan awam dan mengambil keputusan untuk menarik balik kelulusan.

Lagu Despacito merupakan lagu asal dendangan asal penyanyi Puerto Rico, Luis Fonsi dan Daddy Yankee serta terdapat versi bahasa Inggeris yang menampilkan Justin Bieber.

Lagu itu dikatakan memuatkan tema hubungan seksual dan romantik yang keterlaluan.

Lihat Komen